Jerman belum mahu mendabik dada

Jerman belum mahu mendabik dada

WINSTON-SALEM: Kapten Jerman, Joshua Kimmich enggan terlalu terbawa-bawa dengan kemenangan besar 7-1 ke atas Curacao apabila menegaskan dua baki aksi peringkat kumpulan bakal menjadi penentu sebenar kekuatan pasukannya di Piala Dunia 2026.

Juara dunia empat kali itu memulakan kempen Kumpulan E dengan penuh bergaya menerusi kemenangan besar ke atas pendatang baharu Piala Dunia berkenaan sekali gus menghidupkan semula keyakinan penyokong yang dahagakan kejayaan.

Bagaimanapun, Kimmich mengakui Curacao bukan lawan bertaraf dunia dan cabaran sebenar hanya akan bermula apabila mereka berdepan Ivory Coast dan Ecuador dalam dua aksi berikutnya.

“Memang kami menjangkakan kemenangan tetapi cara kami melakukannya sangat dominan.

“Namun, menang dengan jaringan sebesar itu bukan sesuatu yang dijangka berlaku dalam kejohanan seperti ini,” katanya.

Jerman yang tersingkir seawal pusingan pertama pada edisi 2018 dan 2022 kini berada dalam rentak cemerlang dengan 10 kemenangan berturut-turut, namun Kimmich percaya pasukannya masih mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.

Menurutnya, Ivory Coast dan Ecuador memiliki kelebihan fizikal selain mampu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang mencabar sekali gus menjadikan kedua-dua pasukan itu ujian lebih tepat untuk menilai kemampuan sebenar Die Mannschaft.

“Kedua-dua pasukan itu sangat kuat dari segi fizikal dan mampu mengharungi keadaan persekitaran dengan baik.

“Marilah kita lihat dua lagi perlawanan ini terlebih dahulu sebelum semua pihak boleh membuat penilaian lebih tepat mengenai kedudukan sebenar kami,” katanya.

Kimmich turut mengakui Jerman mempunyai kualiti untuk mencederakan mana-mana lawan, namun menegaskan aspek kestabilan permainan dan jumlah gol yang dibolosi perlu diperbaiki sekiranya mereka mahu kembali menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama sejak 2014. – AGENSI

Scroll to Top