Piala Dunia 2026: Viral Payne sah sertai Olimpia selepas kempen New Zealand

Piala Dunia 2026: Viral Payne sah sertai Olimpia selepas kempen New Zealand

Miami: Pertahanan New Zealand, Tim Payne yang mencetus fenomena viral di media sosial menjelang aksi Piala Dunia, telah menandatangani kontrak selama setahun bersama kelab Paraguay, Olimpia.

Sumber kelab mengesahkan pemain berusia 32 tahun itu akan menyertai kelab bersejarah Amerika Selatan tersebut selepas tamat kempen Piala Dunia New Zealand di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, seperti dilaporkan Sky Sports.

Olimpia mencetuskan spekulasi apabila memuat naik hantaran di Instagram pada Isnin dengan gambar bendera New Zealand dan emoji lengan berotot beberapa minit sebelum aksi Kumpulan G menentang Iran yang berakhir 2-2.

Sumber turut mengesahkan persetujuan sudah dicapai namun tiada butiran lanjut didedahkan.

Pemain Wellington Phoenix itu menjadi perhatian global selepas kempen media sosial oleh seorang influencer Argentina yang menggelarkannya sebagai antara pemain paling tidak dikenali di Piala Dunia, sekali gus mendorong lonjakan besar pengikutnya di Instagram.

Pengikut Payne meningkat daripada kurang 5,000 kepada sekitar 5.8 juta, menjadikannya antara bintang viral paling tidak dijangka dalam kejohanan itu.

Olimpia adalah kelab yang tiga kali juara Copa Libertadores dan antara kelab bersejarah Paraguay turut layak ke pusingan 16 Copa Sudamericana selepas menjuarai Kumpulan G serta mengesahkan tempat ke Libertadores musim depan selepas menjuarai Apertura domestik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top