Tragedi Kem Hobart: Gambar terakhir Prebet Siti Khadijah jadi kenangan

Tragedi Kem Hobart: Gambar terakhir Prebet Siti Khadijah jadi kenangan

am@hmetro.com.my

Kluang: Sekeping gambar kiriman Prebet Siti Khadijah Sungip yang maut dalam insiden letupan bom di Kem Hobart, Sungai Petani, Kedah, menjadi kenangan terakhir yang ditinggalkan kepada ahli keluarganya.

Gambar terbabit dihantar Allahyarham menerusi kumpulan sembang keluarga di WhatsApp pada 12 tengah malam iaitu sehari sebelum kejadian menyayat hati itu.

Menurut kakaknya, Siti Zaiha, 39, arwah adiknya yang berusia 24 tahun menghantar gambar itu untuk memaklumkan dia sedang menjalani latihan selama lapan hari, yang termasuk menembak dan membaling bom tangan.

“Pada keesokannya kira-kira jam 8 pagi, arwah menghantar mesej memaklumkan dia akan menjalani latihan membaling bom tangan di padang kem terbabit.

“Arwah beritahu dia kumpulan terakhir yang menjalani latihan itu (baling bom). Saya kemudian menasihatkannya supaya berhati-hati serta mendengar arahan jurulatih dengan teliti serta fokus.

“Sekitar 11 pagi, ayah (Sungip Jais) hubungi saya memaklumkan adik kemalangan. Pada mulanya saya anggap ia kemalangan biasa dan ketika itu saya berada di Kuantan, Pahang,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Sri Lambak, di sini, hari ini.

Menurutnya, disebabkan tidak mendapat maklumat jelas mengenai kemalangan menimpa Siti Khadijah, dia kemudian cuba mendapatkan nombor telefon pegawai bertugas menerusi kenalan.

“Sekitar 12 tengah hari kejadian, pegawai memberitahu adik cedera dan sudah meninggal dunia. Bila dapat tahu berita sebenar, ibu (Zaliha Said) beberapa kali pengsan dan bapa pula menjadi tidak kuat,” katanya.

Siti Khadijah adalah bekas graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) jurusan Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam (Jalan Raya dan Pengangkutan).

Allahyarham juga daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang pernah menjadi penerima Anugerah Akademik Prajurit Wanita Muda Terbaik.

Siti Zaiha berkata, kali terakhir mereka berjumpa arwah adalah seminggu sebelum sambutan Aidiladha bulan lalu.

“Arwah pulang ke sini (Taman Sri Lambak) dua hari selepas bapa datang menjemputnya di Perak. Itulah kali terakhir ayah dan ibu jumpa adik sebelum pulang semula ke kem.

“Arwah dapat balik sebab Latihan Pasak Bumi tamat. Cita-cita arwah sebenarnya bukan menjadi tentera darat. Dia pernah temuduga pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tapi belum ada rezeki.

“Kalau ikutkan memang permintaan bapa mahukan arwah menjadi tentera. Lagipun bapa adalah bekas tentera,” katanya.

Terdahulu, pekarangan rumah keluarga sudah dipenuhi ahli keluarga, jiran dan kenalan yang menunggu ketibaan jenazah Siti Khadijah. Turut diadakan bacaan surah Yassin dan persiapan lain untuk pengebumian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top