norhayati_nordin@hmetro.com.my
Putrajaya: Band ‘boy’ popular era hujung 1990-an, X-Factor bersikap terbuka menerima apa sahaja komen netizen sama ada berbaur kecaman, kritikan dan yang baik selepas nekad kembali semula dalam industri.
X-Factor dianggotai Zach, Fendi, Danny, Shah dan Jim sebelum ini menyepi diri daripada radar industri hiburan kira-kira 20 tahun dan sekarang muncul dengan lagu terbaharu, Walu Walu.
Zach, 49, berkata lagu Walu Walu menjadi harapan baharu X-Factor buat mengubat rindu peminat mereka yang seusia dan juga pembuka jalan untuk dikenali penggemar baharu pada kalangan generasi Z dan Alpha.
“Tidak dinafikan memang banyak perubahan dalam industri muzik kita antara dulu dan sekarang. Bagaimanapun, kemunculan semula X-Factor dalam industri bukan untuk bersaing tetapi sekadar mewarnai industri.
“Kami berlima pun bukan muda lagi dan boleh digelar ‘pakcik-pakcik’ tetapi mungkin jiwa masih muda. Jadi, lagu Walu Walu ini adalah taruhan kami dan semoga ia mendapat sambutan baik daripada pendengar.
“Dulu kami (X-Factor) pun ‘clean’, tidak ada benda-benda pelik dan kontroversi dalam industri. Namun, sekarang ini tidak tahulah nanti macam mana sebab zaman sudah berubah.
“Jadi kalau ada komen-komen negatif atau positif, kami terima sahaja seadanya. Sebab kalau fasal komen, saya rasa itu bagus juga. Sama ada ia negatif atau positif, tetap baik. Maknanya, ada orang masih perasan dengan X-Factor,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, X-Factor ditemui media pada majlis pelancaran lagu Walu Walu ciptaan Jim dan muzik video arahan Han Zalini di sini semalam.
Menurut Zach lagi, kembalinya X-Factor di persada seni tanah air kini umpama ‘trend’ juga sebagaimana di Hollywood pun boleh tengok ‘band boy’ dulu seperti Backstreet Boys dan Westlife muncul semula.
“Sebenarnya di Hollywood pun ada banyak band lama yang kembali semula dalam industri. Jadi, mungkin inilah dunia industri seni yang berjalan dan kali ini X-Factor muncul untuk mewarnai.
“Walaupun kita ini sudah berumur tetapi kami berlima masih menimbulkan aura yang boleh nampak muda. Semua ini seperti kehidupan, muzik adalah satu putaran. Tiba masa tiada dan sekarang muncul kembali,” katanya.
X-Factor yang ditubuhkan oleh KRU Music pada 1999, pernah popular dengan lagu Sehangat Api, 7251364, Tak Sanggup, Percayalah, Tiada Sesempurnamu dan banyak lagi.
Seiring meningkat usia dan berkeluarga, masing-masing difahamkan pernah ‘lost contact’ terlalu lama, namun mereka kembali bersatu selepas menjadi artis jemputan Konsert Elite Live ’25 pada 20 September tahun lalu.
Dari situ, walaupun tampil menyanyikan lagu Bertuah dan 7251364, namun X-Factor menyifatkan ia menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk sepakat buat keputusan muncul semula.
© New Straits Times Press (M) Bhd




