am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: “Banyak membaca al-Quran, insya-Allah ingatan akan dipelihara Allah. Al-Quran adalah panduan hidup yang sempurna untuk dunia dan akhirat.”
Demikian nasihat penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Negeri Terengganu, Jusoh@Muda Ismail, 95, yang lebih mesra dipanggil Ayah Su.
Guru al-Quran dari Kampung Bukit Payong, Marang itu berkata, amalan membaca al-Quran secara konsisten bukan sahaja menguatkan daya ingatan, malah membantu memelihara kesihatan rohani.
Menurutnya, amalan itulah yang menjadi pegangan sehingga membolehkannya terus aktif mengajar al-Quran walaupun sudah lanjut usia.
“Tidak ada tip lain selain membaca al-Quran,” katanya.
Jusoh yang mempunyai lima anak, 26 cucu dan 17 cicit menerima pengiktirafan itu atas jasa serta sumbangannya dalam menyebarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat selama lebih tujuh dekad.
Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri 1448H/2026M di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Jusoh berkata, beliau mula terbabit dalam bidang pendidikan agama ketika berusia 22 tahun dan sehingga kini masih mengajar al-Quran secara talaqqi sama ada di rumah atau dalam talian.
“Saya bersyukur dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah. Segala usaha yang dilakukan selama ini hanyalah untuk menyebarkan ilmu al-Quran dan mendidik masyarakat supaya lebih dekat dengan kitab suci ini.
“Al-Quran perlu dipelajari dengan berguru kerana ia mempunyai kaedah dan disiplin tersendiri terutama dari segi bacaan dan tajwid,” katanya.
Sepanjang penglibatannya, beliau berperanan sebagai tenaga pengajar, penceramah serta penganjur kursus tajwid kepada guru agama di seluruh negara.
Malah, beliau pernah berkhidmat sebagai hakim Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan selama 22 tahun.
Jusoh yang kini menjawat jawatan Syeikhul Qurra’ ketiga Persatuan Qurra Terengganu sejak 2004 meneruskan legasi kepimpinan al-Quran negeri yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Mat Lintar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




