Kansas City: Lionel Messi mendedahkan air mata yang mengalir selepas menjaringkan gol pertama Argentina ketika menewaskan Algeria 3-0 bukan disebabkan bola sepak, sebaliknya berpunca daripada masalah peribadi yang dilaluinya sejak beberapa hari lalu.
Kapten Argentina itu dilihat mengesat air mata menggunakan jersinya selepas meledak gol pembukaan sebelum melengkapkan hatrik pertama dalam sejarah penampilannya di Piala Dunia.
Aksi cemerlang itu membantu juara bertahan memulakan kempen dengan kemenangan bergaya, namun tumpuan turut terarah kepada reaksi emosinya selepas jaringan pertama berkenaan.
“Kenapa saya menangis? Ia sesuatu yang langsung tidak berkaitan dengan bola sepak. Saya melalui beberapa hari yang sukar,” kata Messi selepas perlawanan.
Bagaimanapun, pemain yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-39 minggu depan itu enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai perkara yang berlaku.
Messi sebaliknya mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota pasukan Argentina yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh sukar berkenaan.
“Saya berterima kasih kepada seluruh delegasi dan rakan sepasukan kerana sentiasa berada di sisi saya dan memberikan kekuatan untuk saya mengharunginya,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Messi mempamerkan sentuhan luar biasa apabila menjaringkan tiga gol untuk memastikan kemenangan 3-0 ke atas Algeria.
Hatrik berkenaan turut menyaksikan beliau menyamai rekod legenda Jerman, Miroslav Klose sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia dengan 16 gol.
Lebih manis, Messi yang kini beraksi dalam rekod enam edisi Piala Dunia terus membuktikan pengaruh besarnya dalam usaha Argentina mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Qatar empat tahun lalu.
Argentina akan meneruskan kempen Kumpulan J menentang Austria pada Isnin depan dalam misi memburu slot ke pusingan kalah mati.
© New Straits Times Press (M) Bhd




