mahanum_aziz@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Cadangan penggabungan Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Digi.com Bhd (Digi) berjalan lancar dan tiada sebarang isu luar biasa timbul untuk kedua-dua syarikat bergabung menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbesar Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group Bhd, Datuk Izzaddin Idris, berkata Axiata Group dan Telenor ASA berharap dapat memeterai perjanjian definitif dalam tempoh terdekat dengan selesainya proses ketekunan wajar.
Beliau berkata, sebaik saja perjanjian definitif itu dimeterai, pihaknya akan segera mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi penggabungan itu.
“Pemegang saham sangat teruja dengan cadangan penggabungan. Nama syarikat penggabungan ialah Celcom Digi Bhd.
“Setakat ini, proses berjalan lancar dan tidak ada sebarang isu yang luar biasa yang timbul,” katanya pada sidang media secara maya sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Axiata, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terkini cadangan penggabungan Celcom dan Digi yang diumumkan pada April lalu.
Jika penggabungan membabitkan Celcom dan Digi itu menjadi kenyataan, ia akan mewujudkan pendapatan pro forma sekitar RM12.4 bilion, sementara pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pra sinergi mencecah RM5.7 bilion.
Penggabungan Celcom-Digi juga akan membentuk 19.1 juta pelanggan di seluruh negara, sekali gus menjadikan Celcom Digi sebagai peneraju pasaran.
Pembentukan Celcom Digi akan menyaksikan Axiata dan Telenor masing-masing menguasai 33.1 peratus pegangan, manakala selebihnya dikuasai pemegang saham institusi dan rakyat Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada urus niaga penggabungan, Axiata akan menerima saham baharu yang diterbitkan dalam Digi mewakili 33.1 peratus pegangan saham pasca bernilai RM2 bilion.
Daripada itu, RM1.7 bilion adalah daripada Digi menerusi penerbitan hutang baharu, manakala baki RM300 juta lagi daripada Telenor.
Mengenai rancangan anak syarikat Axiata, Boost Holdings Sdn Bhd membentuk konsortium dengan Kumpulan Perbankan RHB memohon lesen perbankan digital daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Izzaddin berkata, kerjasama strategik itu sejajar dengan visi kumpulan untuk memacu keterangkuman digital di Malaysia dan serantau.
Beliau berkata, setakat ini, draf permohonan lesen perbankan digital itu sudah siap dan pihaknya akan mendapatkan kelulusan lembaga pengarah untuk tujuan itu.
Katanya, Axiata optimis dan berada dalam landasan untuk menghantar permohonan lesen perbankan digital itu sebelum 30 Jun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
