Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menafikan penglibatannya dalam hebahan berkaitan pendaftaran saudara baharu atau mualaf yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan menerusi media sosialnya, UPSI memaklumkan poster hebahan yang bertarikh 15 Jun itu tidak pernah dibentangkan untuk pertimbangan atau kelulusan pihak pengurusan universiti berkenaan.
Menurut UPSI hebahan berkenaan juga disebarkan tanpa melalui mana-mana saluran rasmi UPSI.
“Pihak UPSI memandang serius perkara ini dan tindakan lanjut sedang diambil bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang. Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa merujuk hebahan rasmi UPSI melalui medium rasmi universiti sahaja,” menurut kenyatan itu.
UPSI komited untuk terus menangani sebarang isu yang boleh mencalarkan imej serta reputasi institusi itu.
Terdahulu, tular dalam media sosial satu poster berkaitan kelebihan untuk mahasiswa yang mendaftar sebagai saudara baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




