Missouri: Cody Gakpo memberi amaran awal kepada Belanda bahawa mereka perlu lebih berhati hati apabila berdepan Sweden dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia, terutama dengan kepulangan penyerang sensasi Liverpool, Alexander Isak yang kini kembali cergas dan tajam di depan gol.
Isak sebelum ini berdepan musim sukar bersama Liverpool akibat kecederaan panjang selepas berhijrah dari Newcastle United, namun kini kembali menemui rentak apabila meledak dalam kemenangan besar Sweden 5-1 ke atas Tunisia.
“Semua orang tahu betapa bagusnya dia. Kami gembira dia kembali cergas dan dia bermain dengan sangat baik, malah dia bermula baik dalam kejohanan ini,” kata Gakpo.
Dia juga mengakui Belanda perlu menang selepas hanya mencatat keputusan seri 2-2 menentang Jepun dalam aksi pertama, namun menolak tekanan tambahan menjelang pertemuan dengan Sweden yang kini berada dalam keyakinan tinggi.
“Kami tahu kami perlu menang untuk mara ke peringkat seterusnya. Keputusan Sweden memang bagus untuk mereka, tetapi kami perlu fokus kepada diri sendiri,” katanya.
Gakpo turut menekankan kepentingan Belanda memperbaiki permainan terutama dalam situasi ruang sempit selepas perlawanan pertama menentang Jepun yang berdisiplin.
Belanda akan menentang Sweden di Houston pada Sabtu ini, manakala Tunisia bertemu Jepun dalam satu lagi aksi kumpulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




