Toronto: Jaringan Caleb Yirenkyi pada masa kecederaan membantu Ghana menewaskan Panama 1-0 dalam aksi Kumpulan L Piala Dunia, hari ini sekali gus menghadiahkan tiga mata penting buat wakil Afrika itu dalam usaha mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 2010.
Gol kemenangan Yirenkyi hadir pada minit ke-95 selepas Thomas-Asante melepasi pertahanan Panama, Jose Cordoba sebelum menghantar bola ke dalam kotak penalti yang disudahkan pemain berusia 20 tahun itu.
Panama kemudian mengerah semua pemain ke hadapan bagi mencari gol penyamaan menerusi sepakan percuma pada saat akhir, namun Ghana berjaya mempertahankan kelebihan mereka sehingga wisel penamat.
Terdahulu, Panama hampir membuka jaringan seawal minit kedua menerusi rembatan lencong Cecilio Waterman, namun penjaga gol Ghana, Lawrence Ati Zigi, melakukan aksi menyelamat cemerlang.
Ati Zigi bagaimanapun terpaksa digantikan oleh Benjamin Asare pada permulaan babak kedua akibat kecederaan.
Selepas ini, Ghana akan berdepan pendahulu Kumpulan L, England dalam aksi yang dijangka sengit.
Panama pula akan memburu kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia apabila menentang Croatia dalam perlawanan seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




