Vancouver: Kanada mahu mengambil pengajaran daripada keputusan seri 1-1 menentang Bosnia & Herzegovina dalam aksi pembukaan serta berazam menguasai perlawanan menentang Qatar dalam saingan Kumpulan B Piala Dunia di Vancouver, esok.
Keempat-empat pasukan dalam kumpulan itu iaitu Kanada, Qatar, Switzerland dan Bosnia & Herzegovina masing-masing mengumpul satu mata dengan satu gol dijaringkan serta satu gol dibolosi menjelang aksi kedua kumpulan.
Switzerland akan bertemu Bosnia dan Herzegovina sebelum Kanada berdepan Qatar.
“Kami tahu dengan keadaan kumpulan yang begitu sengit ketika ini, setiap detik dan setiap mata amat penting, dan itulah fokus kami.
“Kami tidak mahu terlalu memikirkan perkara lain. Fokus kami hanya kepada perlawanan ini, iaitu apa yang perlu kami hadkan daripada mereka dan bagaimana kami mahu corak permainan dimainkan.
“Saya rasa terutama pada babak pertama menentang Bosnia, permainan lebih mengikut kehendak mereka berbanding apa yang kami mahukan.
“Jadi kami perlu memastikan sejak wisel pertama lagi kami menetapkan rentak permainan dan bermain mengikut kelebihan kami sendiri. Itulah yang mahu kami lakukan seawal mungkin,” kata jurulatih Kanada, Jesse Marsch pada sidang media menjelang perlawanan.
Selepas beberapa hari timbul spekulasi mengenai tahap kecergasan Alphonso Davies, Marsch mengesahkan pemain itu sudah pulih dan bersedia untuk diturunkan.
“Dia sudah menjalani latihan minggu ini dan akan tersedia untuk perlawanan esok. Kami akan melihat bagaimana perjalanan perlawanan sebelum membuat keputusan mengenai penggunaannya,” katanya.
Selepas memulakan kempen di Toronto, skuad Kanada kini berada di pantai barat negara itu dan menjalani latihan di Pusat Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan.
Marsch turut teruja untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri yang dijangka memenuhi Stadium BC Place.
“Saya tahu Vancouver adalah bandar yang cintakan bola sepak. Kami sudah melihatnya berkali-kali sebelum ini dan kami menjangkakan stadium ini akan bergema.
“Kami mahu melihat warna merah di mana-mana, penyokong memberikan sokongan penuh kepada pemain, pasukan dan negara mereka.
“Pemain kami sudah bersedia untuk beraksi. Kami mahu Qatar bukan sahaja merasai cabaran daripada pasukan kami, tetapi juga daripada penyokong. Hadirlah, bersoraklah sekuat hati dan jadilah pemain ke-12 kami di stadium,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




