‘Tak nak duduk semeja dengan DAP’ kiasan dari ‘enggan bekerjasama’ -Onn Hafiz

‘Tak nak duduk semeja dengan DAP’ kiasan dari ‘enggan bekerjasama’ -Onn Hafiz

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tampil menjelaskan kenyataan “enggan duduk semeja dengan DAP” yang sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi dan perdebatan dalam kalangan pemerhati politik.

Hanya kiasan sahaja

Memetik laporan daripada Sinar Harian, beliau menjelaskan kenyataan tersebut bukanlah membawa maksud secara literal, sebaliknya hanya satu kiasan yang merujuk kepada pendirian BN Johor untuk tidak membentuk kerajaan negeri bersama DAP.

“Apa yang dimaksudkan dengan tidak duduk semeja tidak bermakna secara literal, sebaliknya hanya satu kiasan. Apa yang saya maksudkan ialah tidak mahu membentuk kerajaan bersama DAP. Itu yang saya maksudkan.
“Daripada segi ideologi, kita mempunyai cara kita di Johor dan mungkin tidak selari kerana perjuangan parti tidak sama. Jadi, saya rasa ini antara sebab utamanya.
“Cara dan juga ideologi politiknya sangat berbeza,” katanya ketika ditemui di kediaman rasminya di Saujana.

Rakyat Johor mahu pentadbiran negeri yang kekal

Onn Hafiz mendedahkan rakyat Johor secara umumnya mahukan pentadbiran negeri kekal seperti sedia ada tanpa penglibatan DAP dalam kerajaan negeri.

Beliau turut berpandangan bahawa tidak ada keperluan untuk menukar pentadbiran Johor kepada Kerajaan Perpaduan memandangkan BN telah menunjukkan prestasi yang baik dalam mentadbir negeri itu sejak empat tahun lalu.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam perkara yang melibatkan kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi dan bekerjasama atas kapasiti kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
“Buktinya, saya memenuhi jemputan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, walaupun menerima jemputan pada saat akhir,” katanya.

Mengulas kritikan yang diterima susulan beberapa kenyataannya sebelum ini, Onn Hafiz berkata beliau memilih untuk kekal tenang dan terus memberi tumpuan kepada tugas sebagai pemimpin negeri.

“Alhamdulillah, saya masih kekal tenang menghadapi semuanya, masih boleh bekerja dan masih dapat tidur dengan nyenyak.
“Diserang pihak lawan dan dikritik orang ramai adalah adat dalam dunia politik. Apa yang lebih penting ialah bagaimana saya memberikan reaksi balas. Saya boleh sahaja memilih untuk terus berkasar, tetapi itu bukan cara Bangsa Johor,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan berhemah dan profesional akan terus menjadi pegangan dalam menguruskan perbezaan pandangan serta cabaran politik yang dihadapi.

Sumber: Sinar Harian (Nor Azura Md Amin)

Scroll to Top