TUDM teliti rancangan ganti pesawat C-130H

TUDM teliti rancangan ganti pesawat C-130H

PETALING JAYA: Rancangan penggantian pesawat pengangkut C-130H sedang diteliti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas pesawat itu sebahagiannya telah usang dan  berusia antara 31 hingga 50 tahun.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, pesawat C-130H  sememangnya diiktiraf sebagai antara platform pengangkutan udara yang  berkesan dan boleh dipercayai namun faktor usia menyebabkan kos penyelenggaraan semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Ramai mengakui C-130H merupakan pesawat yang baik. Namun, apabila tiba masanya, penggantian aset perlu dipertimbangkan kerana dalam sesetengah keadaan, menggantikan pesawat lebih berbaloi berbanding terus menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi,” katanya semasa sidang akhbar sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 di Pangkalan Udara Subang hari ini. 

Muhammad Nurazlan berkata, pengalaman mengendalikan helikopter Nuri sebelum ini menunjukkan aset berkenaan digunakan sehingga 52 tahun sebelum perkhidmatannya ditamatkan.

“Usia 50 tahun bagi sesebuah pesawat merupakan tempoh yang sangat panjang. Oleh itu, perancangan penggantian perlu dibuat lebih awal bagi memastikan kesiapsiagaan operasi dapat dikekalkan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai rancangan untuk mendapatkan pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA), beliau berkata, setiap aset pertahanan yang diperoleh akan digunakan secara optimum bagi memastikan pulangan terbaik terhadap pelaburan negara, termasuk daripada aspek latihan dan operasi.

“Apabila kita membeli pesawat pejuang, kita akan menggunakannya sehingga ke tahap optimum. Latihan juga dilaksanakan secara maksimum kerana dalam situasi konflik, pesawat-pesawat ini akan digunakan sehingga ke had keupayaan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, pesawat F/A-18 Hornet TUDM kini telah berkhidmat hampir tiga dekad dan melepasi tempoh yang digariskan dalam dasar jangka hayat aset.

“Dasar hayat perkhidmatan  yang menjadi panduan menetapkan tempoh sekitar 25 tahun. Namun, kita telah mengoperasikan pesawat ini melebihi tempoh tersebut dengan menilai sejauh mana ia masih boleh digunakan secara selamat dan berkesan. 

“Menjelang 2035, kita menjangkakan pesawat-pesawat ini akan mula berdepan pelbagai cabaran termasuk isu keusangan, sokongan logistik, penyelenggaraan dan ketersediaan alat ganti. Pada ketika itu, penggantian perlu dilaksanakan bagi memastikan keupayaan pertahanan udara negara terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top