Pemandu lori dipenjara 5 tahun, denda RM30,000 sebabkan kematian penunggang motosikal

Pemandu lori dipenjara 5 tahun, denda RM30,000 sebabkan kematian penunggang motosikal

am@hmetro.com.my

Tawau : Seorang pemandu lori dipenjara lima tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kemalangan jalan raya, tahun lalu.

Majistret Don Stiwin Malanjum turut menggantung lesen memandu tertuduh, Abu Dari Kuraani, 41, selama lima tahun berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini, selain menetapkan hukuman penjara tambahan setahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Dalam keputusannya beliau berkata, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan selepas meneliti keseluruhan keterangan dan hujahan kedua-dua pihak pada akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Abu Dari didakwa memandu sebuah Perodua Alza secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Chong Thien Vun di sini pada kira-kira 5.57 petang, 9 April tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh diwakili peguam Chen Wen Jye bersama Jhesseny P Kang.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon hukuman ringan dengan memaklumkan tertuduh sudah bercerai, tidak mempunyai anak dan individu yang menyara keluarganya termasuk menjaga ibunya.

Pembelaan turut memaklumkan tertuduh kehilangan pekerjaan selepas kemalangan berkenaan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah bahawa kesalahan dilakukan adalah serius kerana membabitkan keselamatan pengguna jalan raya dan mengakibatkan kehilangan nyawa.

Menurut pendakwaan, hukuman yang dikenakan perlu mengambil kira kepentingan awam selain berperanan sebagai pengajaran kepada masyarakat agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Pendakwaan turut memaklumkan mangsa adalah satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya dan kematiannya memberi kesan mendalam kepada ahli keluarga selain menimbulkan kesukaran untuk mendapatkan pampasan kerana insurans kenderaan tertuduh didakwa telah tamat tempoh ketika kemalangan berlaku.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top