Dakwah Islam di institusi pendidikan awam selaras Perlembagaan – Zainul Rijal

Dakwah Islam di institusi pendidikan awam selaras Perlembagaan – Zainul Rijal

SHAH ALAM – Kenyataan mendakwa institusi pendidikan awam tidak boleh menjadi tempat penyebaran Islam merupakan tafsiran yang tidak selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, manakala Perkara 11(1) dan 11(4) memberi ruang kepada pengembangan agama Islam serta membenarkan sekatan terhadap penyebaran agama lain kepada orang Islam.

Menurut beliau, institusi pendidikan awam juga tidak boleh dianggap sebagai institusi yang bersifat neutral agama sehingga menafikan kedudukan Islam yang telah diiktiraf oleh Perlembagaan.

“Sejak sekian lama, sekolah dan universiti awam menyediakan pelbagai kemudahan serta program berkaitan Islam seperti pengajian Islam, masjid, surau, kuliah dan aktiviti dakwah yang dijalankan secara terbuka serta teratur.

“Pelaksanaan program-program ini tidak pernah menghalang hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing, malah mencerminkan pendekatan Malaysia yang mengiktiraf kepelbagaian agama dalam kerangka kedudukan istimewa Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran sebelum ini dilapor meminta siasatan secara menyeluruh, telus dan bebas dijalankan bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab susulan penularan poster ‘Pendaftaran Saudara Baharu (Mualaf)’ yang menggunakan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, isu berkenaan telah menimbulkan keresahan kerana poster tersebut menggunakan nama dan identiti UPSI selain menyentuh perkara yang amat sensitif dalam konteks masyarakat majmuk negara ini.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, adalah tidak tepat untuk mengaitkan penyebaran Islam dengan unsur paksaan, eksploitasi atau galakan yang tidak sihat.

Katanya, dakwah dalam Islam berteraskan hikmah, nasihat yang baik dan penghormatan terhadap kebebasan individu sebagaimana ditegaskan dalam ajaran Islam bahawa tiada paksaan dalam agama.

“Selagi penyebaran Islam dilaksanakan secara berhemah, sukarela dan mematuhi undang-undang, ia merupakan hak yang dijamin oleh Perlembagaan serta sebahagian daripada tanggungjawab umat Islam dalam menyampaikan ajaran agama mereka,” katanya.

Beliau turut menyifatkan dakwaan bahawa institusi pendidikan awam sedang dimanipulasi untuk tujuan penukaran agama sebagai tuduhan melulu, tidak berasas dan berpotensi menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menurutnya, kenyataan sedemikian bukan sahaja mengabaikan hakikat bahawa aktiviti keagamaan tertakluk kepada undang-undang serta garis panduan yang ketat, malah boleh dianggap sebagai cubaan mengecilkan ruang penghayatan dan pengembangan Islam yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Pemimpin politik seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap amalan dakwah yang selama ini berlangsung secara aman dan harmoni,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keharmonian dalam masyarakat majmuk tidak boleh dibina dengan mengehadkan atau meminggirkan kedudukan Islam yang telah diperuntukkan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya, sebarang cadangan untuk menyingkirkan aktiviti pengembangan Islam daripada institusi pendidikan awam bukan sahaja tidak mempunyai asas perundangan yang kukuh, malah berpotensi menimbulkan salah faham terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Scroll to Top