SHAH ALAM – Pas didakwa tanpa berselindung berusaha menguasai Perikatan Nasional (PN) sepenuhnya dengan langkah terbaharu menggugurkan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan utama dalam gabungan itu.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sikap autoritarian dan politik kasar parti itu bertujuan melemahkan kedudukan partinya dalam struktur kepimpinan gabungan itu.
“Bukan lagi rahsia bahawa terdapat pihak dalam Pas yang berhasrat untuk menguasai PN sepenuhnya dan menyingkirkan Bersatu daripada gabungan tersebut.
“Kenyataan anggota Lajnah Undang-Undang Pas serta jentera parti juga memberi gambaran ke arah itu, termasuk usaha menyulitkan pengeluaran watikah calon, memanfaatkan dominasi dalam Majlis Tertinggi untuk menekan Bersatu serta mengetepikan peranan Majlis Presiden dalam proses membuat keputusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Tambah beliau, susunan baharu yang diumumkan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu juga mengubah keseimbangan undi dalam Majlis Tertinggi PN berikutan Bersatu memiliki empat wakil berbanding enam sebelum ini.
“Sekiranya berlaku pengundian, misalnya Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menyokong Bersatu sekalipun, undi hanya tinggal tujuh sahaja.
“Sebaliknya jika Gerakan mempunyai tiga undi menyokong Pas, sudah tentu keputusan akan berpihak kepada mereka dengan menjadi 10 undi (tidak termasuk undi Pengerusi),” katanya.
Tun Faisal turut mempersoalkan mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN dalam masa terdekat selepas sekian lama tidak memanggil mesyuarat penting berkaitan persiapan pilihan raya dan penyelesaian konflik dalaman gabungan itu.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Bersatu akan terus mempertahankan kedudukannya dalam PN selain mengharapkan pihak dalam Pas sendiri membantu menghentikan permainan politik kluster publika itu.



