PETALING JAYA: Polis menahan seramai 58 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian sempena Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 menerusi Op Soga XI yang dilaksanakan secara bersepadu di seluruh negara sejak 11 Jun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi itu dilancarkan bagi membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian yang dijangka meningkat sempena piala dunia.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan sehingga 19 Julai depan dengan kerjasama strategik pelbagai agensi berkepentingan, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Sepanjang operasi ini, sebanyak 52 serbuan telah dilaksanakan dan kani menahan seramai 58 suspek terdiri daripada 54 lelaki dan empat wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian.
“Turut dirampas dalam operasi tersebut adalah wang tunai berjumlah RM25,684.65 dan nilai pertaruhan berjumlah RM488,582.47,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, polis turut mengesan 42 laman sesawang yang digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak dan promosi perjudian.
Jelasnya, laman sesawang yang dikesan itu merangkumi laman web, platform, aplikasi dan media sosial yang digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.
“Tindakan sekatan laman web dan penurunan kandungan akan dibuat dengan bantuan SKMM.
“Semua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Akta Pertaruhan 1953 serta Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” katanya.
Menurutnya, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). – UTUSAN




