izawan@hmetro.com.my
Kazan (Rusia): Malaysia perlu bertindak lebih agresif dan berani memperkukuh hubungan ekonomi dengan Rusia serta negara-negara Asia Tengah berpotensi bagi memastikan rantaian pasaran domestik tidak ketinggalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan amalan lama yang terlalu berhati-hati dalam diplomasi antarabangsa ekoran faktor tekanan geopolitik luar perlu dikikis demi kepentingan ekonomi rakyat.
“Saya lihat beberapa bidang strategik memerlukan kita lebih ke depan, agresif, dan berani, meskipun sebelum ini kita terlalu berhati-hati disebabkan pertimbangan geopolitik tertentu.
“Jika kita perlahan, kita akan ketinggalan. Ini senario yang sangat membimbangkan,” katanya dalam sidang media penutup bersama media Malaysia selepas menamatkan lawatan kerja dua hari ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, pengiktirafan tinggi yang diterima Malaysia di pentas global ketika ini harus diterjemahkan kepada limpahan manfaat ekonomi, perdagangan, dan pelaburan langsung.
“Soal minyak dari Rusia, itu soal yang sangat penting, dan hubungan kita dengan Rusia itu sangat baik. Tetapi kita agak terlalu berhati-hati dalam membawa isu ini secara agak tegas. Ini yang saya sebut perlu kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga perlu mengkaji semula pendekatan hubungan dengan beberapa negara termasuk Myanmar, Afghanistan dan Iran.
Menurutnya, pertemuan dengan pemimpin dan pelabur dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia serta sesi bersama Shanghai Cooperation Council dan Eurasia Economic Commission menunjukkan terdapat beberapa kekurangan yang perlu ditangani secara lebih agresif.
Anwar berkata, pengalaman Rusia membangunkan sektor pertanian moden selepas berdepan sekatan Barat juga wajar diteliti Malaysia.
Beliau berkata Rusia berjaya mengurangkan kebergantungan kepada import dalam tempoh kira-kira setahun setengah hasil komitmen terhadap teknologi dan pemodenan pertanian.
“Ini sepatutnya wakil daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan harus meneliti bersama dengan mungkin Kementerian Ekonomi, bagaimana kita boleh buat beberapa penyesuaian, selain daripada perbincangan soal industri, pelaburan, tetapi juga dalam pertanian moden,” katanya.
Dalam bidang pendidikan pula, Anwar berkata, beliau sudah berbincang dengan Presiden Rusia Vladimir Putin mengenai penambahan peluang kepada pelajar Malaysia di negara itu.
Menurut beliau, ketika ini terdapat kira-kira 500 pelajar Malaysia di Rusia dalam bidang sains perubatan dan pengajian lain.
“Pertama, beliau (Putin) beri ruang yang tambahan kepada pelajar termasuk biasiswa. Kedua, kita juga nak kenal pasti, umpamanya, space (bidang angkasa lepas), bidang AI, bidang digital dan beberapa bidang baru. Itu harus kita beri keutamaan,” katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau menerima sambutan yang amat baik daripada Presiden Uzbekistan ketika singgah di Tashkent dan mengadakan perbincangan mengenai kerjasama tenaga, pendidikan, teknologi maklumat dan digital.
Menurutnya, beberapa negara Asia Tengah termasuk Uzbekistan, Turkmenistan dan Kazakhstan kini mempunyai kekuatan ekonomi yang jauh lebih besar berbanding dahulu dan wajar diberi perhatian oleh Malaysia dalam usaha memperluas kerjasama antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




