ADUN Pas, Bersatu ‘senada’ biru diraja hadiri Sidang DUN Khas Selangor

ADUN Pas, Bersatu ‘senada’ biru diraja hadiri Sidang DUN Khas Selangor

SHAH ALAM – Meskipun hubungan politik antara Pas dan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini tidak lagi sehaluan, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kedua-dua parti pembangkang itu dilihat tampil senada apabila mengenakan pakaian berwarna biru diraja pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.

Menariknya, warna yang dipilih blok pembangkang itu seakan sama dengan pilihan pakaian Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika beliau membentangkan Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.

Kehadiran ADUN pembangkang dengan pakaian sedondon itu mencuri perhatian pemerhati serta petugas media yang mengikuti persidangan berkenaan.

Situasi itu turut mencetuskan pelbagai reaksi termasuk gurauan mereka masih ‘bersatu’ dari segi warna pakaian meskipun tidak lagi bergerak dalam satu gabungan politik.

Terdahulu, Pas mengejutkan landskap politik negara apabila membuat ketetapan untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan bagi membincangkan hala tuju parti dalam mendepani fasa politik baharu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan memutuskan hubungan tersebut dibuat selepas parti meneliti kedudukan serta hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa secara menyeluruh.

Scroll to Top