Kawasan tumpuan pelancong, Bukit Bintang bakal memiliki sebuah masjid baharu yang mampu menampung lebih 1,500 jemaah susulan persetujuan pemilik sebuah bangunan di kawasan itu untuk mewakafkan premis berkenaan bagi tujuan ibadah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan berkata, bangunan yang dahulunya dikenali sebagai Bangunan Yayasan Selangor itu akan dibangunkan sebagai masjid dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa agensi berkaitan.

Menurutnya, pemilik bangunan terbabit bersetuju mewakafkan premis tersebut walaupun berpotensi menjana pulangan lumayan sekiranya digunakan untuk tujuan komersial.
“Alhamdulillah, kita telah bersetuju untuk membina masji d di bangunan itu yang boleh memuatkan lebih 1,500 jemaah. Pemilik bangunan juga bersetuju untuk mewakafkannya dan MAIWP telah bersetuju untuk mendanai projek ini,” katanya ketika merasmikan pelaksanaan solat Jumaat pertama di Oasis Outreach Bukit Bintang, hari ini.

Beliau berkata, kewujudan masjid tersebut bakal mengisi keperluan masyarakat Islam di kawasan Bukit Bintang yang selama ini tidak mempunyai masjid khusus untuk menunaikan solat Jumaat.
Dalam pada itu, Zulkifli turut memaklumkan pihaknya sedang merancang pembangunan sebuah lagi masjid ikonik di kawasan berhadapan Menara TRX yang melibatkan tanah seluas kira-kira 5.6 ekar.

Katanya, projek yang dikenali sebagai Masjid Warisan itu dijangka menjadi mercu tanda baharu di ibu negara dan setanding dengan pembangunan moden di kawasan berkenaan.
“Insya-Allah, kita mahu bangunkan sebuah masjid yang indah dan hebat, seiring dengan kemegahan Menara TRX,” ujarnya.
Artikel lain: Masjid perlu diamarahkan, bukan hak eksklusif mana-mana kelompok – Sultan Pahang
Mengulas pelaksanaan solat Jumaat di Oasis Outreach Bukit Bintang, beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kemudahan ibadah dapat dinikmati segera tanpa perlu menunggu projek pembinaan masjid siap sepenuhnya.

Menurutnya, kebenaran menjadikan lokasi itu sebagai surau Jumaat sementara bermula hari ini merupakan satu sejarah baharu yang bertepatan dengan awal Muharam 1448 Hijrah.
Sumber: Kosmo! Online (Amir Haikal Kamarudin), FB Zulkifli Hasan





