PRN Johor: AMANAH tampil 13 muka baharu

PRN Johor: AMANAH tampil 13 muka baharu

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: AMANAH bakal menampilkan 13 muka baharu daripada 19 calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata hanya enam atau tujuh calon merupakan bekas calon pada PRN sebelum ini manakala selebihnya adalah calon baharu.

“Daripada muka-muka baharu ini separuh daripadanya adalah orang muda manakala calon wanita ada dua orang. Kebanyakan calon berkenaan adalah anak tempatan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Johor (Zon Selatan) di Taman Universiti di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan; Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad dan Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kaiat.

Mohamad Sabu berkata, parti itu menyasarkan enam kerusi di bahagian utara Johor sementara di empat atau lima kerusi di sebelah pantai timur negeri itu.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menerima calon yang akan diumumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin ini.

Katanya, semua pihak dalam parti komponen PH perlu bersatu hati dan memberi sokongan penuh bagi memastikan kemenangan calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi.

“Ada yang mengatakan parti ini paling layak bertanding di sini, ada parti ini lebih layak bertanding di situ dalam Pakatan Harapan ini.

“Tetapi bila keputusan telah dibuat, diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada 22 Jun nanti maka kita Pakatan Harapan akan pergi sebagai satu pasukan Pakatan Harapan,” katanya.

Mohamad Sabu berkata, sama ada AMANAH, PKR atau DAP, kesemua parti komponen itu harus membantu calon yang dipilih kelak meskipun bukan daripada calon komponen mereka sendiri.

“Jangan ada di antara kita, biar orang kita menang, biar orang orang kita itu kalah. Kalau kita ada niat begitu hilang satu dua kerusi tak berpeluang kita ke Kota Iskandar pada 12 Julai nanti.

“Ini yang perlu ada sikap kita. Perbezaan-perbezaan itu akan berlaku tapi kita tamatkan dengan pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi nanti,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan berlaku ‘perselisihan faham’ apabila AMANAH memaklumkan parti itu mahu mengambil semula kerusi yang ‘dipinjamkan’ kepada MUDA di DUN Puteri Wangsa berikutan tiada lagi kerjasama parti itu dengan PH.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top