Sam menetap di Sarawak, masih anggota Innuendo

Sam menetap di Sarawak, masih anggota Innuendo

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Ketiadaan Sam pada sidang media konsert Soul City “An R&B Night” menimbulkan tanda tanya ramai sama ada salah seorang daripada anggota asal kumpulan Innuendo itu masih bersama atau sebaliknya.

Bagaimanapun, anggota Innuendo, Pot atau nama sebenarnya Saiful Amir Abd Wahab, 54, menjelaskan Sam tidak pernah meninggalkan kumpulan itu, sebaliknya kini menetap di Kuching, Sarawak bersama keluarganya.

Menurut Pot, faktor lokasi dan komitmen kerja menyebabkan Sam tidak dapat bersama mereka pada majlis berkenaan, namun hubungan antara mereka kekal utuh seperti biasa.

“Innuendo masih kekal bertiga, cuma Sam di Sarawak dan tidak dapat sertai kami.

“Kami memahami kekangannya memandangkan dia sudah lama menetap di Kuching bersama keluarga. Apa pun, dia masih bersama kami,” katanya ketika ditemui Harian Metro pada sidang media di sini kelmarin.

Pada majlis itu, Innuendo hanya diwakili Pot dan Taj atau Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir.

Mengulas kemungkinan menggunakan penyanyi lain sebagai pengganti sementara, Taj berkata perkara itu tidak pernah menjadi pertimbangan mereka.

“Sebenarnya kami bersetuju menyertai konsert ini kerana ada rakan-rakan seperjuangan dalam genre R&B yang sudah kami anggap seperti saudara sendiri.

“Kami sudah lama berkawan dan banyak kali berkongsi pentas bersama. Jadi kehadiran mereka sudah cukup untuk menjadikan konsert ini istimewa,” katanya.

Konsert anjuran Menara Network Sdn Bhd itu bakal menggabungkan Innuendo, Ruffedge, The Fabulous Cats dan Lah Ahmad dalam satu persembahan yang meraikan kegemilangan muzik R&B tempatan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 10 Julai depan.

Menurut Pot, meskipun jarang tampil dengan karya baharu, Innuendo masih aktif dalam industri muzik dan berharap Soul City dapat mengembalikan perhatian peminat terhadap genre berkenaan.

“Sebenarnya kami masih aktif dalam arena muzik. Mungkin kerana tiada produk baharu, orang sangka Innuendo sudah menyepi.

“Kami berharap konsert ini dapat mencetuskan semula momentum muzik R&B tempatan kerana genre ini masih mempunyai tempat tersendiri di hati pendengar,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top