'Kerjasama mungkin berlaku, tapi bukan mudah' – Penganalisis politik

'Kerjasama mungkin berlaku, tapi bukan mudah' – Penganalisis politik

SHAH ALAM – Kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Blok Progresif seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dijangka berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.Bagaimanapun ia bukan perkara mudah kerana melibatkan perbezaan ideologi, profil pengundi serta strategi politik yang agak ketara.Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abd Muis berkata, dari sudut pro kerjasama sedemikian boleh mengurangkan risiko pertembungan banyak penjuru yang memberi keuntungan kepada parti lawan.”Bersatu memiliki kekuatan dalam segmen pengundi Melayu tertentu, manakala Muda dan PSM mempunyai daya tarikan dalam kalangan pengundi muda, progresif serta sebahagian pengundi bandar.”Jika digabungkan secara strategik, ia boleh membantu memaksimumkan undi pembangkang di kerusi tertentu.”Selain itu, kerjasama tersebut boleh memberi gambaran bahawa pembangkang mampu mengetepikan perbezaan demi menawarkan semak dan imbang yang lebih berkesan terhadap kerajaan negeri,” kata penganalisis politik itu kepada Sinar Harian.Bagaimanapun dari sudut kontra, Mujibu berpendapat, cabaran terbesar adalah jurang ideologi dan naratif politik.”Bersatu lebih cenderung kepada politik Melayu pragmatik-konservatif, sementara Muda dan PSM pula sering membawa pendekatan progresif, reformis serta merentasi identiti.”Perbezaan itu boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong masing-masing tentang keserasian dan hala tuju kerjasama tersebut,” jelas beliau.Selain itu, Mujibu berkata, kerjasama itu juga akan mengundang risiko pemindahan undi kepada pihak lawan yang tidak berlaku secara automatik.”Penyokong Muda atau PSM tidak semestinya bersedia mengundi calon Bersatu, begitu juga sebaliknya. Dalam politik pilihan raya, kolaborasi elit tidak semestinya diterjemahkan kepada kerjasama pengundi di peringkat akar umbi.”Sekiranya mereka tidak bekerjasama, kelebihan utamanya setiap parti dapat mengekalkan identiti, prinsip dan segmen sokongan masing-masing tanpa perlu berkompromi dengan naratif politik yang berbeza.”Tetapi kelemahannya risiko pecah undi pembangkang, khususnya di kerusi marginal yang boleh mengurangkan peluang mencabar parti lebih dominan,” ujarnya.Mujibu bagaimanapun membuat kesimpulan bahawa kerjasama Bersatu-Muda-PSM berpotensi memberi manfaat dari sudut matematik pilihan raya dan pengelakan pecah undi.”Namun, kejayaannya sangat bergantung kepada kemampuan masing-masing mengurus perbezaan ideologi, sekali gus meyakinkan penyokong bahawa kerjasama ini mempunyai tujuan politik yang jelas dan kredibel.”Dalam konteks PRN Johor, faktor kebolehmenangan calon dan pengagihan kerusi mungkin lebih menentukan berbanding keserasian ideologi semata-mata,” jelas Mujibu.Sebelum ini, Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz memaklumkan, pihaknya mempunyai hubungan baik dengan Bersatu di Johor, tetapi perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama dalam pilihan raya belum mencapai kata putus.

Scroll to Top