mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas hampir enam bulan bergelut dengan prestasi sendiri, pelari pecut wanita negara, Aisyah Rofina Aling akhirnya menemui detik paling dinanti apabila berjaya memecahkan rekod peribadi terbaik (PB) dalam acara 100 meter(m) wanita pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, petang kelmarin.
Lebih bermakna, catatan 11.707 saat (s) itu bukan sahaja menghadiahkan emas buat Aisyah, malah menamatkan penantian panjang yang sekian lama membelenggu dirinya dalam usaha kembali ke prestasi terbaik.
Dalam perlumbaan penuh sengit yang hanya dipisahkan dalam ratusan saat di garisan penamat, Aisyah menewaskan pencabar rapatnya, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira yang mencatat 11.710s.
Namun bagi Aisyah, saat paling bermakna hadir bukan ketika dia melihat dirinya diangkat sebagai pemenang, sebaliknya apabila papan masa menunjukkan catatan yang selama ini dikejarnya tanpa jemu.
“Saya jadi emosi sebab bila tengok masa, saya tahu saya sudah buat PB. Ketika itu kami pun tidak pasti siapa menang, tetapi sama ada menang atau kalah, kami tetap gembira kerana berjaya mengatasi catatan terbaik masing-masing.
“Sangat susah untuk dapatkan PB ini. Saya rasa sudah lima hingga enam bulan berusaha untuk mencapainya,” katanya.
Aisyah berkata, tekanan untuk menang tidak pernah menjadi fokus utama, sebaliknya dia hanya mahu kembali menembusi sempadan prestasi peribadi yang lama tertahan.
“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Saya cuma mahu lakukan yang terbaik untuk catat PB. Alhamdulillah semalam dapat emas juga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




