Boston: Kehangatan dibawa penyokong Scotland, dikenali sebagai Tartan Army, sepanjang Piala Dunia 2026 menyebabkan skuad itu kini dianggap sebagai “pasukan kedua pilihan semua orang” di Boston.
Bekas pemain sayap Scotland, Neil McCann mendedahkan sambutan luar biasa penduduk tempatan terhadap pasukan kebangsaan itu sehingga ada yang sanggup mempelajari lagu kebangsaan Scotland, “Flower of Scotland”.
Pengurus Kilmarnock itu berkongsi pengalamannya bertemu seorang pekerja tempatan di Stadium Boston yang sedang menghafal lirik lagu berkenaan sebelum perlawanan menentang Maghribi, Jumaat lalu.
“Saya tiba awal dan sedang menunggu kiosk dibuka untuk membeli minuman. Seorang lelaki memakai topi besbol dan baju-T Boston menyapa saya.
“Dia berkata, ‘kami suka orang Scotland dan kamu semua sangat baik kepada bandar ini, kami sangat gembira dengan kehadiran kamu’,” kata McCann kepada BBC Radio Scotland.
Menurut McCann, lelaki berkenaan turut menunjukkan sekeping kertas yang mengandungi lirik “Flower of Scotland” yang disimpan di dalam poketnya.
“Dia memberitahu saya dia hadir ketika perlawanan menentang Haiti dan mendengar kami menyanyikan lagu kebangsaan. Dia kemudian pulang ke rumah untuk mempelajari liriknya kerana bertugas pada perlawanan berikutnya.
“Dia kata dia akan turut menyanyikannya apabila lagu itu dimainkan. Saat itu benar-benar menyentuh hati saya,” katanya.
McCann berkata, sambutan luar biasa itu membuatkan Scotland seolah-olah mempunyai keluarga kedua di Boston.
“Kami diterima dengan sangat baik di sini. Semua orang seperti mahu kami layak ke pusingan seterusnya.
“Hubungan mesra antara penyokong amat istimewa. Dalam bola sepak, semangat terhadap pasukan sendiri biasanya mencetuskan persaingan sengit, tetapi di sini tiada permusuhan.
“Kami hanya hadir untuk menyokong pasukan masing-masing dan suasana seperti ini sangat istimewa,” katanya.
Scotland kini memburu tempat ke pusingan kalah mati dan sokongan luar biasa di Boston dijangka terus menjadi pembakar semangat buat skuad kendalian Steve Clarke itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd



