SHAH ALAM – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diminta memainkan peranan yang sepatutnya dalam menguruskan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bagi mengelakkan pelbagai isu dalaman terus berlarutan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, keperluan mendapatkan kebenaran Pengerusi PN bagi mengadakan sebarang aktiviti atau mesyuarat menggunakan nama gabungan itu hanya akan berkesan sekiranya pemegang jawatan tersebut menjalankan tanggungjawab yang sewajarnya.
“Atas sebab itu Pengerusi PN perlu berfungsi. Masalah timbul apabila Pengerusi PN tidak memainkan peranan yang sepatutnya dan seolah-olah ghaib.
“Sedangkan PN akan berhadapan dengan PRN Johor dan Negeri Sembilan serta terdapat isu dalaman PN yang perlu diselesaikan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Jumaat yang menegaskan bahawa sebarang aktiviti atau mesyuarat menggunakan nama gabungan itu tidak boleh diadakan tanpa keizinan Ahmad Samsuri.
Takiyuddin dilaporkan berkata, ketetapan berkenaan dibuat bagi memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan gabungan dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966.
Sebelum itu, satu hantaran yang tular kepada pengamal media mendakwa satu mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN akan diadakan di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, Ahmad Samsuri sepatutnya memanggil mesyuarat MT PN, mesyuarat rundingan kerusi, mesyuarat persiapan pilihan raya serta mesyuarat jawatankuasa pakatan pilihan raya (electoral pact) serta tidak menguruskan konflik dalaman Bersatu.
Menurutnya, banyak perkara yang boleh dibawa ke meja rundingan sekiranya mesyuarat-mesyuarat berkenaan diadakan.
“Soal Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu itu satu hal, tetapi Ahmad Samsuri masih Pengerusi PN dan Bersatu adalah anggota PN.
“Yang disibukkan oleh Pas adalah menguruskan hal pihak yang bukan anggota PN termasuk melancarkan parti yang masih belum diluluskan namanya,” sindirnya.
Dalam pada itu, Tun Faisal menegaskan kemelut antara Pas dan Bersatu perlu diselesaikan segera sebelum proses penamaan calon bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, kegagalan menyelesaikan isu berkenaan hanya akan mengundang lebih banyak spekulasi mengenai hala tuju gabungan tersebut.
“Apabila Pas dilihat melengah-lengahkan persiapan, tidak memanggil mesyuarat MT, mesyuarat persiapan pilihan raya, mesyuarat rundingan kerusi dan mesyuarat jawatankuasa electoral pact, timbul pelbagai spekulasi di sebalik tindakan Pas ini.
“Lebih-lebih lagi apabila ada desas-desus kononnya terdapat tawaran daripada UMNO untuk memberi Pas jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dengan syarat Pas tidak bertanding di Johor,” kata beliau.



