BERSATU ingatkan PAS sejarah penubuhan PN

BERSATU ingatkan PAS sejarah penubuhan PN

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: BERSATU mengingatkan PAS mengenai sejarah penubuhan Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya berasal dari idea Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Peringatan itu dipercayai dibuat susulan polemik yang timbul antara PAS dan BERSATU mengenai kedudukan masing-masing dalam PN, termasuk isu penggunaan logo gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan datang.

Ketua Penerangan BERSATU Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, beberapa fakta berhubung penubuhan PN tidak boleh dinafikan mana-mana pimpinan PAS kerana ia membabitkan proses yang dilaksanakan secara langsung oleh BERSATU sejak gabungan itu diwujudkan.

Menurutnya, idea penubuhan PN asalnya dicetuskan oleh Muhyiddin iaitu Presiden BERSATU dan bukannya daripada PAS seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.

“Sehingga hari ini, tiada mana-mana pemimpin PAS yang boleh menafikan fakta bahawa idea menubuhkan Perikatan Nasional datang daripada Tan Sri Muhyiddin.

“Perlembagaan PN juga dirangka dan ditulis oleh BERSATU bermula daripada sifar, selain logo gabungan itu turut dihasilkan oleh BERSATU melalui Pejabat Presiden parti,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tun Faisal berkata, BERSATU turut bertanggungjawab menguruskan keseluruhan proses pendaftaran PN sehingga gabungan itu berjaya didaftarkan secara rasmi.

Katanya, parti itu juga menanggung sebahagian besar urusan operasi dan pengurusan PN sejak awal penubuhannya pada 2020 sehingga menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“BERSATU menguruskan hampir semua aspek berkaitan penubuhan dan pendaftaran PN.

“Parti-parti lain hanya dijemput menghadiri mesyuarat selepas sebahagian besar dokumen serta urusan pendaftaran PN hampir disempurnakan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan PN akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan keanggotaan parti gabungan itu di Pejabat Agung PAS, malam esok.

Antara isu yang dijangka dibentangkan dalam mesyuarat itu adalah mengenai penggunaan nama gabungan itu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dipetik berkata, sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama gabungan itu tidak boleh dilaksanakan tanpa keizinan pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top