mdroji@bh.com.my
Kuching: Kepelbagaian kaum di Sarawak yang semakin berkembang melalui perkahwinan campur melahirkan sebuah masyarakat hibrid yang unik, sekali gus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam negeri ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, fenomena itu dapat dilihat dengan jelas menerusi penyertaan kontinjen ‘Hybrid Dayak’ dalam perarakan Niti Daun sempena sambutan Hari Gawai yang berlangsung semalam.
Menurut beliau, kontinjen berkenaan menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang etnik dan budaya hasil perkahwinan campur antara masyarakat di Sarawak.
“Antara perkara yang menarik perhatian saya ialah kontinjen yang disebut sebagai Hybrid Dayak atau Hybrid Kontinjen kerana semua kaum ada dalam kumpulan itu.
“Hasil perkahwinan campur, kita kini mempunyai masyarakat yang dapat menyemarakkan lagi budaya baharu dalam kalangan rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap ketika menghadiri Majlis Makan Malam Bersempena Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026, malam ini.
Majlis berkenaan dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir.
Abang Johari berkata, perkahwinan antara masyarakat pelbagai kaum seperti Iban, Cina dan Melayu telah mewujudkan sebuah komuniti baharu yang mencerminkan identiti sebenar Sarawak.
Menurutnya, kewujudan komuniti hibrid itu membuktikan rakyat negeri ini tidak lagi dibatasi oleh perbezaan kaum, sebaliknya hidup dalam suasana saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.
“Kalau cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit dan jika cubit paha kiri, paha kanan pula terasa sakit.
“Itulah gambaran hubungan erat rakyat Sarawak yang hidup dalam kepelbagaian budaya tetapi tetap bersatu,” katanya.
Beliau berkata, suasana harmoni dan makmur yang dinikmati rakyat hari ini membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan demi kemajuan serta kesejahteraan Sarawak pada masa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




