Undav buat Nagelsmann 'sakit kepala'

Undav buat Nagelsmann 'sakit kepala'

Boston: Jerman menarik nafas lega selepas kemenangan dramatik 2-1 ke atas Ivory Coast semalam memastikan mereka mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun.

Juara dunia empat kali itu sudah mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan E berdasarkan rekod pertemuan dengan Ivory Coast yang berada di tangga kedua sekiranya kedua-dua pasukan mengumpul mata sama.

Skuad kendalian Julian Nagelsmann kini menanti lawan di pusingan 32 terbaik, namun sebelum itu mereka dijangka melakukan beberapa perubahan ketika menentang Ecuador dalam aksi terakhir kumpulan.

Penyerang Deniz Undav yang masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Ivory Coast muncul wira apabila meledak dua gol kemenangan. Jaringan itu menjadikan jumlah keseluruhannya sembilan gol dalam lapan perlawanan terakhir bersama Jerman.

Nagelsmann sebelum ini enggan menyenaraikan Undav dalam kesebelasan utama walaupun penyerang itu konsisten meledak gol. Pada Mac lalu, beliau berkata Undav mungkin tidak akan memberi impak sama jika diturunkan sejak awal permainan.

Kenyataan itu mengundang kritikan dan Nagelsmann kemudian memohon maaf, namun dia sekali lagi meletakkan Undav di bangku simpanan dalam dua perlawanan awal Piala Dunia.

Undav kini sudah mengumpul tiga gol dan dua bantuan jaringan selepas turut menjaringkan gol ketika kemenangan ke atas Curacao, sekali gus mendahului senarai penjaring kejohanan.

Penyerang berusia 30 tahun itu dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Ecuador dan persoalan utama kini ialah pemain yang bakal digugurkan.

Kai Havertz dilihat calon paling sesuai untuk digantikan, namun persembahan hambar Jamal Musiala ketika menentang Ivory Coast turut mencetuskan desakan supaya pemain tengah kreatif itu direhatkan.

Musiala yang kembali beraksi selepas berehat selama enam bulan akibat patah kaki musim lalu masih belum menemui sentuhan terbaiknya. Situasi itu membuka ruang buat Undav beraksi di belakang Havertz.

Jerman turut dibimbangi kecederaan pertahanan Nico Schlotterbeck yang dijangka menjalani pemeriksaan lanjut selepas mengalami masalah ketika aksi menentang Ivory Coast.

Bagaimanapun, Nagelsmann tidak bercadang melakukan rombakan besar semata-mata untuk merehatkan pemain kerana mahu mengekalkan rentak kemenangan pasukan yang kini mencatat 11 kemenangan berturut-turut.

“Kami akan berbincang bersama barisan kejurulatihan dan Rudi Voeller. Saya tidak percaya kepada perubahan secara besar-besaran. Kami perlu mengekalkan rentak bagi menghadapi cabaran seterusnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top