Yamal cetus kebangkitan Sepanyol, benam Arab Saudi 4-0

Yamal cetus kebangkitan Sepanyol, benam Arab Saudi 4-0

ATLANTA: Kepulangan pemain sensasi Sepanyol, Lamine Yamal menjadi pemangkin kebangkitan skuad La Roja apabila juara Eropah itu membelasah Arab Saudi 4-0 dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia 2026, Stadium Mercedes-Benz, semalam.

Yamal yang membuat penampilan pertama dalam kesebelasan utama selepas berehat hampir dua bulan akibat kecederaan hamstring, tidak menunggu lama untuk memberi impak apabila membuka jaringan seawal minit ke-10.

Gol tersebut menamatkan kemarau jaringan Sepanyol di kejohanan itu sebelum Mikel Oyarzabal menambah derita Arab Saudi menerusi dua gol pantas bagi meletakkan La Roja selesa mendahului 3-0 dalam tempoh 24 minit pertama.

Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente terus berhati-hati menguruskan kecergasan Yamal apabila mengeluarkan bintang Barcelona itu pada waktu rehat, namun tindakan tersebut tidak menjejaskan rentak pasukannya.

Yamal cetus kebangkitan Sepanyol, benam Arab Saudi 4-0
Lamine Yamal

Sebaliknya, Sepanyol terus menguasai permainan dan menambah gol keempat hasil jaringan sendiri pertahanan Arab Saudi, Hassan Al-Tambakti pada babak kedua.

Kemenangan itu membolehkan Sepanyol melonjak ke tangga teratas Kumpulan H, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara calon utama untuk menjulang trofi Piala Dunia.

Arab Saudi kini berdepan tekanan besar menjelang aksi terakhir kumpulan menentang Cape Verde di Houston, dengan kemenangan menjadi misi wajib jika mahu mengintai slot ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak Piala Dunia 1994.

Sepanyol pula akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Uruguay di Guadalajara pada Jumaat ini. – AFP

Scroll to Top