Miami: Uruguay dan Cape Verde terikat 2-2 dalam aksi kedua Kumpulan H Piala Dunia selepas pasukan yang beraksi kali pertama itu memberikan tentangan sengit kepada gergasi Amerika Selatan dalam perlawanan yang berlangsung sengit, hari ini.
Cape Verde yang sebelum ini mengikat Sepanyol tanpa jaringan pada aksi pembukaan, membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi Kevin Pina.
Gol itu hadir selepas Telmo Arcanjo melakukan larian pantas sebelum memenangi sepakan percuma, dan Pina menyempurnakan peluang itu menerusi rembatan rendah dari jarak 31 meter untuk menghadiahkan gol pertama negaranya dalam sejarah Piala Dunia.
Bagaimanapun, Uruguay bangkit sebelum tamat babak pertama.
Maxi Araujo menyamakan kedudukan menerusi tandukan hasil bola muntah sebelum dia sekali lagi memainkan peranan penting apabila melakukan hantaran kepada Agustin Canobbio yang menanduk masuk gol kedua Uruguay untuk mendahului 2-1 sebelum rehat.
Cape Verde yang tidak berputus asa kembali menyamakan kedudukan pada babak kedua.
Pemain gantian, Helio Varela hanya memerlukan dua minit selepas dimasukkan apabila memanfaatkan hantaran lemah Mathias Olivera di kawasan sendiri.
Varela berjaya memintas bola sebelum memperdayakan penjaga gol Uruguay yang keluar dari gawang dan mudah menolak bola ke dalam gawang kosong.
Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan kini mengumpul dua mata, berada di belakang pendahulu kumpulan, Sepanyol yang mengutip empat mata menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




