Dahulu dijulang, kini Hakan Sukur pelarian politik di AS

Dahulu dijulang, kini Hakan Sukur pelarian politik di AS

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dahulu dijulang bak dewa dan dihormati dengan gelaran ‘Sang Lembu Bosphorus’, kehidupan penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Turki, Hakan Sukur kini berubah 180 darjah apabila dia terpaksa hidup sebagai pelarian politik di Amerika Syarikat pada usia 54 tahun.

Jika legenda lain selesa mengumpul kekayaan bersenang-lenang pasca persaraan, wira yang pernah membawa Turki menduduki tempat ketiga Piala Dunia 2002 ini pula terpaksa memerah keringat memandu kenderaan e-hailing Uber dan menjual buku semata-mata untuk menyara keluarganya di perantauan.

Segala kemewahan ratusan juta ringgit hasil keringatnya bersama Galatasaray dan Inter Milan didakwa dirampas dan dibekukan sepenuhnya oleh kerajaan Turki, malah kafe yang dibukanya di California turut terpaksa ditutup akibat sering diganggu individu misteri.

Titik kejatuhan tragis ‘dari hero ke zero’ ini bermula selepas dia bersara pada 2008 dan terjun ke dunia politik sebagai Ahli Parlimen sebelum tercetus perbalahan ideologi dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang menyaksikan dirinya dituduh mendalangi cubaan rampasan kuasa pada tahun 2016.

Segala pengorbanannya seakan langsung tidak dihargai apabila dilabel sebagai musuh negara namun legenda malang ini tetap bertegas menafikan dirinya seorang pengganas sebaliknya mendakwa Erdogan telah merampas segala hak kebebasan serta memisahkan dirinya daripada rakyat Turki yang amat dicintainya.

Lebih kejam, namanya kini dianggap ‘haram’ untuk disebut di tanah airnya sendiri sehinggakan seorang pengulas sukan televisyen kerajaan Turki dipecat serta-merta pada Piala Dunia 2022 hanya kerana tersebut fakta sejarah berkaitan rekod gol miliknya.

Biarpun cuba dipadamkan dari lipatan sejarah secara paksa, seluruh dunia pastinya tidak akan pernah melupakan rekod epik gol terpantas Piala Dunia miliknya yang diledak hanya dalam tempoh 11 saat ketika menentang Korea Selatan.

Reputasinya selaku penyerang sensasi dengan ketinggian 1.91 meter yang pakar di udara dan lincah merobek pertahanan lawan juga kekal utuh, apatah lagi dia adalah watak penting yang menjulang trofi Eropah pertama buat Galatasaray menerusi kejuaraan Piala UEFA pada tahun 2000.

Berbekalkan 51 gol daripada 112 penampilan antarabangsa, statusnya sebagai ‘raja’ di depan gawang skuad kebangsaan Turki masih belum mampu dipecahkan oleh mana-mana penyerang sehingga ke hari ini.

Di celah kesibukannya mengambil dan menghantar penumpang di bumi asing, dia sesekali masih meluangkan masa melepaskan rindu terhadap bola sepak dengan mengendalikan latihan buat kanak-kanak tempatan di sebuah akademi persendirian di sekitar Palo Alto.

Tatkala kemeriahan Piala Dunia 2026 sedang merancakkan bumi Amerika Syarikat ketika ini, legenda agung Turki ini mungkin sekadar menjadi penonton atau pemandu yang menghantar peminat ke stadium, wujud secara fizikal di sana namun terus ‘ghaib’ daripada kenangan rasmi negaranya sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top