MUNICH: Jaringan sendiri Mats Hummels memberikan kemenangan 1-0 kepada Perancis ke atas Jerman pada aksi pembukaan Euro 2020 juara dunia itu di Munich.
Hummels tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-20 yang menjadi penentu kepada keputusan perlawanan di Allianz Arena.
Perancis bagaimanapun berhak dengan kemenangan berkenaan selepas menghasilkan deretan percubaan termasuk jaringan Kylian Mbappe dan Karim Benzema di babak kedua yang dibatalkan kerana ofsaid manakala percubaan Adrien Rabiot terkena tiang.
Kekalahan di laman sendiri itu menambah tekanan ke atas Jerman menjelang aksi Kumpulan F seterusnya bertemu Portugal Sabtu ini, juga di Allianz Arena.
Pengendali Jerman Joachim Loew, yang akan meletakkan jawatannya selepas Kejuaraan Eropah, terdesak untuk mengelak insiden Piala Dunia 2018 daripada berulang di mana mereka menamatkan peringkat kumpulan di tangga tercorot.
Ia malam mengecewakan buat Hummels yang kembali ke pentas antarabangsa selepas dua tahun dipinggirkan.
Tujuh tahun lalu, tandukan Hummels menyingkirkan Perancis di peringkat suku akhir Piala Dunia 2014 di mana Jerman muncul juara di Brazil. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd