Sepatutnya minggu ke-12 itu sudah boleh dengar degupan jantung bayi, tapi tiada – Hanna Delisha

Sepatutnya minggu ke-12 itu sudah boleh dengar degupan jantung bayi, tapi tiada – Hanna Delisha

PETALING JAYA: Pelakon, Hanna Delisha tampil mengimbau momen titik terendahnya apabila mengalami keguguran pada usia kandungannya sudah memasuki tiga bulan.

Lebih memilukan, Hanna memaklumkan khabar duka itu dikongsikan ketika dia teruja untuk mendengar degupan jantung bayi buat pertama kali, namun gagal.

“Saya dapat tahu saya hamil pada usia kandungan lapan minggu. Tetapi minggu ke-12 yang saya dapat tahu keguguran.

“Itu kali pertama saya masuk hospital yang perlu menjalani pembedahan untuk mencuci rahim. Momen ketika berada di hospital itu adalah titik terendah buat saya kerana perkara itu terlalu mengejut.

“Saya dapat tahu bahawa degupan jantung bayi sudah tiada ketika menjalani pemeriksaan kandungan buat kali kedua. Sepatutnya minggu ke-12 itu sudah boleh dengar degupan jantung bayi.

“Ketika itu saya dan suami sangat teruja. Tetapi bila dapat tahu tiada degupan jantung, saya sedih. Boleh nampak dari reaksi wajah muka doktor itu apabila dia turut memanggil seorang jururawat untuk mengesahkannya,” katanya menerusi sebuah audio siar.

Tambah Hanna, suaminya yang juga seorang pelakon, Imam Shah merupakan individu yang paling terkesan selepas mengetahui hasratnya untuk menimang cahaya mata tidak kesampaian.

“Suami saya sangat sedih selepas tahu tentang itu. Selalu orang fikir perempuan saja yang akan sedih. Lelaki pun sedih juga cuma tiada yang peduli tentang perasaan mereka.

“Jadi mereka terpaksa menjadi kuat. Sebab itu juga buat saya sayangkan suami saya. Malah, dia sempat meminta maaf walaupun tiada sebab,” ujarnya.

Pada Mac 2024, Hanna berkongsi khabar duka apabila dia mengalami keguguran menerusi sebuah hantaran di aplikasi X.

Hanna dan Imam mendirikan rumah tangga pada 2021 dalam sebuah majlis yang diadakan secara sederhana.

Scroll to Top