am@hmetro.com.my
Ipoh: Seorang pemuda belum sempat mendiami rumah yang dibelinya di Anjung Bercham Utara, Bercham, Februari lalu selepas ribut yang melanda kawasan itu, Sabtu lalu, meranapkan bumbung rumah berkenaan.
Manjit Singh Minder Singh, 36, yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Petaling Jaya, Selangor berkata, lebih memilukan apabila rumah ibu bapanya yang bersebelahan turut mengalami kerosakan bumbung serta dinding.
“Saya beli rumah ini dengan harga RM320,000 pada awal tahun ini secara pembiayaan bank. Bahkan saya sudah membelanjakan tambahan RM8,000 bulan lepas untuk beberapa penambahbaikan seperti untuk mengecat rumah, menukar pintu bilik, tandas, dan sebagainya.
“Pada asalnya saya ingat boleh duduk rumah ini bermula bulan depan…. Namun nampaknya ia tidak kesampaian dengan bencana ribut yang berlaku kali ini,” katanya ketika ditemui NSTP. hari ini.
Sementara itu, ibu Manjit iaitu Chan Lai Hong, 56, berkata, ribut Sabtu lalu mengakibatkan bumbung, siling, serta dinding papan rumahnya musnah, selain beberapa perabot rosak.
Menurutnya, sejak kejadian itu, kawasan perumahan Anjung Bercham Utara juga tiada bekalan elektrik, menyebabkan dia, suami, dua anak mereka serta seorang cucunya terpaksa menyewa rumah inap berhampiran.
“Sejak kejadian, saya perlu membelanjakan RM200 satu malam untuk ‘homestay’ memandangkan saya tiada saudara-mara yang tinggal berdekatan.
“Suami juga mempunyai masalah kesihatan iaitu lemah jantung jadi tidak tahu dengan siapa kami hendak menumpang,” katanya.
Lai Hong yang juga suri rumah manakala suaminya tidak bekerja berharap bantuan disalurkan segera kepada mangsa ribut.
“Apabila kami bertanya jiran lain kos membaiki bumbung, harga minimum dengan kerosakan sebegini mencecah RM20,000 bahkan boleh sampai RM30,000 dan itu belum termasuk kerosakan dalaman yang lain.
“Jadi kami mengharapkan sangat supaya bantuan segera disalurkan kepada kami bagi membolehkan kami membaikisnegera kerosakan akibat ribut ini,” katanya.
- Apa berlaku di Bercham?
- Kawasan terjejas ribut di Bercham ditutup, aktiviti pergerakan dihadkan
- Wanita redah timbunan pokok tumbang selamatkan ibu
- Polis terima 492 laporan susulan ribut di Bercham
- Ribut kuat di Bercham dipercayai akibat fenomena belalai darat
- Peniaga cemas atap rumah diterbangkan ribut ketika siapkan tempahan
- Lebih 200 rumah rosak akibat ribut di Ipoh
© New Straits Times Press (M) Bhd




