KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) diterima untuk menjadi keanggotaan Perikatan Nasional (PN).
Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN.
Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat kali ini dihadiri oleh semua parti yang menganggotai PN, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“Terdapat dua agenda utama yang dibincangkan. Pertama, berkaitan keanggotaan PN dan kedua mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor khususnya dan PRN Negeri Sembilan.
“Bagi agenda pertama, mesyuarat bersetuju meluluskan permohonan dua parti politik untuk menjadi parti anggota baharu PN, iaitu Pejuang dan Parti Cinta Malaysia (PCM),” ujarnya kepada pemberita pada Isnin.
Tambah Ahmad Samsuri, berkaitan PRN Johor dan Negeri Sembilan, mesyuarat bersetuju untuk memuktamadkan agihan kerusi menerusi jawatankuasa rundingan dalam tempoh segera.
“Saya dimaklumkan bahawa wakil-wakil parti yang dipilih untuk menyertai rundingan kerusi telah mendapat persetujuan semua ahli mesyuarat dan akan mengadakan pertemuan esok.
“Insya-ALLAH dapat diselesaikan dalam tempoh segera, paling mustahak untuk kita hadapi penamaan calon pada hari Sabtu di Johor,” katanya.
Ditanya mengenai status Bersatu dalam PN dan penggunaan logo pada PRN, beliau memberitahu, perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
“Esok akan bincang berkenaan parti komponen dan kerusi. Ia akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pilihanraya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Dua orang setiap parti akan hantar wakil mereka,” ulasnya.



