EAST RUTHERFORD: Erling Haaland terus mengganas di pentas Piala Dunia apabila meledak dua gol untuk membantu Norway menewaskan Senegal 3-2 sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik lebih awal, hari ini.
Penyerang Manchester City itu kini mengumpul empat gol dalam dua perlawanan selepas turut menjaringkan dua gol ketika membantu Norway menewaskan Iraq 4-1 pada aksi pembukaan Kumpulan I.
Norway bermula garang apabila Marcus Holmgren Pedersen meletakkan pasukan di depan pada penghujung babak pertama hasil kesilapan pertahanan Senegal yang gagal mengeluarkan bola dengan kemas.
Haaland kemudian menggandakan kelebihan tiga minit selepas rehat menerusi penyudah klinikal selepas menerima hantaran Martin Odegaard dalam satu serangan balas pantas.
Senegal kembali merapatkan kedudukan menerusi Ismaila Sarr yang tenang menyempurnakan peluang hasil gerakan bijak Sadio Mane untuk menghidupkan semula cabaran pasukannya.
Bagaimanapun, kesilapan kapten Senegal, Kalidou Koulibaly sekali lagi mengundang padah apabila Haaland menyambar peluang untuk meledak gol kedua peribadinya menerusi voli yang terkena palang sebelum menerjah jaring.
Jaringan itu menyaksikan Haaland meningkatkan rekod antarabangsa luar biasanya kepada 59 gol dalam hanya 52 penampilan bersama Norway sekali gus mengukuhkan status sebagai senjata utama skuad Scandinavia itu.
Sarr sempat menjaringkan gol kedua Senegal pada penghujung permainan namun Norway berjaya mempertahankan kelebihan untuk mengiringi Perancis ke pusingan kalah mati sambil meletakkan lawan mereka di ambang penyingkiran. – AGENSI




