hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia kini berdepan realiti penuaan penduduk bandar berpendapatan rendah apabila majoriti ketua isi rumah di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) utama dijangka sudah memasuki kategori warga emas tahun ini.
Pengarah Penyelidikan Khazanah Research Institute (KRI), Dr Suraya Ismail berkata, keadaan itu berdasarkan dapatan kajian menerusi laporan Decent Shelter for the Urban Poor: A Study of Program Perumahan Rakyat (PPR) yang diterbitkan pada Mac 2023.
Menurut beliau, kajian yang dijalankan KRI antara April 2016 hingga Julai 2017 itu membabitkan lima PPR terpilih di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang iaitu PPR Beringin, Kerinchi, Wahyu, Salak Selatan dan Jalan Sungai.
Katanya, seramai 3,878 penduduk ditemubual bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai keadaan sosio-ekonomi serta kehidupan penghuni perumahan awam bandar berkenaan.
“Laporan itu mendapati median umur ketua isi rumah ketika kajian dijalankan adalah antara 52 hingga 54 tahun. Berdasarkan trend semasa, sebahagian besar ketua isi rumah yang ditemubual hampir sedekad lalu kini sudah memasuki kategori warga emas.
“Semasa kajian dijalankan pada 2016 dan 2017, kira-kira 10 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas, manakala hampir 47 hingga 50 peratus lagi berada dalam lingkungan usia bekerja antara 25 hingga 59 tahun,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, bagaimanapun, purata umur ketua isi rumah ketika itu sudah mencecah sekitar 54 tahun. Jadi selepas hampir 10 tahun berlalu, ramai dalam kelompok itu kini berusia lebih 60 tahun,” katanya.
Menurutnya, majoriti ketua isi rumah iaitu lebih 50 peratus yang terbabit dalam kajian kini dianggarkan sudah memasuki kategori warga emas memandangkan median umur mereka ketika kajian dijalankan adalah sekitar 54 tahun.
“Ketua isi rumah bermaksud individu yang menjadi kepala keluarga bagi setiap unit rumah.
Ia berbeza dengan taburan umur keseluruhan penduduk.
“Ketika kajian dijalankan, kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan penduduk di lima PPR terbabit sudah berada dalam kategori warga emas.
“Menurut laporan itu, peratusan warga emas paling tinggi ketika kajian dijalankan direkodkan di PPR Salak Selatan iaitu sebanyak 15 peratus, diikuti PPR Jalan Sungai sebanyak 12 peratus,” katanya.
Tambahnya, kajian berkenaan turut mendedahkan golongan warga emas di PPR berada dalam keadaan ekonomi yang sangat rentan apabila 72.1 peratus pesara didapati hidup dalam kemiskinan tegar.
“Kebanyakan mereka tidak lagi mempunyai pendapatan tetap kerana telah berhenti bekerja atau bersara, sekali gus bergantung kepada bantuan sosial serta simpanan yang terhad untuk menampung kos sara hidup, ubat-ubatan dan bayaran sewa bulanan.
“Dalam masa sama, isu pemilikan rumah turut menjadi cabaran besar khususnya bagi penghuni berumur 45 tahun ke atas yang menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan ketika masih bekerja,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai penghuni terus bergantung kepada skim sewaan PPR sehingga memasuki usia tua tanpa memiliki kediaman sendiri.
Mengulas keadaan kehidupan warga emas di PPR, Dr Suraya berkata, antara isu utama yang dikenal pasti ialah ruang rumah yang sempit dan tidak sesuai untuk proses penuaan.
“Antara perkara yang saya lihat semasa kajian dijalankan ialah ruang rumah yang sempit untuk warga emas. Ada juga penghuni berkerusi roda yang tinggal di tingkat 12 atau 14. Apabila lif rosak, keadaan itu amat merungsingkan.
“Kerosakan lif menjadi antara isu paling kritikal kerana memberi kesan langsung terhadap pergerakan dan keselamatan penghuni uzur, terutama mereka yang tinggal di tingkat tinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




