am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah drastik berhubung kekerapan insiden pelajar jatuh dari bangunan sekolah dengan menitikberatkan isu keselamatan di sekolah serta isu kesihatan mental pelajar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, selain Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid yang dilancarkan kementerian itu dua minggu lalu, intervensi melalui saringan kesihatan mental pelajar juga turut dilaksanakan.
“Fakta kes berbeza untuk setiap kes yang berlaku. Tetapi, kita telah mengambil langkah drastik dan melihat keseluruhan isu ini.
“Garis panduan keselamatan sekolah yang kita perkenalkan mesti, wajib dan tanpa kompromi perlu dibawa serta dilaksanakan oleh semua pentadbir sekolah.
“Isu kesihatan mental juga menjadi sebahagian besar daripada keutamaan kita ketika ini. Pengupayaan kaunselor-kaunselor sekolah juga kita berikan perhatian dan jika ada saja tanda-tanda ini (masalah psikologi), kaunselor sekolah mesti membuat intervensi dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Inisiatif Perabot MADANI dan Program Kalvi MADANI Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di SJKT Jalan Yahya Awal di sini, tadi.
Program berkenaan dirasmikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan dan turut dihadiri, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Zulkurnain Abdul Rahman.
Terdahulu, Fadhlina diminta mengulas mengenai beberapa insiden pelajar sekolah yang maut mahu pun parah akibat jatuh daripada bangunan sekolah yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini, termasuk kes terbaharu yang berlaku di Ipoh, Perak, semalam.
Pada masa sama, Fadhlina sekali lagi mengingatkan semua pentadbir sekolah untuk meningkatkan keselamatan di peringkat sekolah, khususnya keselamatan pelajar.
“Kita juga komited untuk memastikan isu-isu yang terkait dengan keselamatan ini terus diberikan keutamaan.
“Jadi, langkah-langkah itu telah kita peringatkan dari semasa ke semasa dan kita harap ini juga dipantau oleh semua pihak dan komuniti yang terkait dengan sekolah supaya dapat mengingatkan antara satu sama lain dan pelajar juga mesti diingatkan dari setiap hari tentang keselamatan sekolah ini,” jelasnya.
Beliau turut meminta ibu bapa untuk sama-sama mendukung isu kesihatan mental dengan melihat keadaan anak-anak mereka dan mengambil langkah-langkah intervensi bersama-sama pihak sekolah bagi memastikan bahawa isu kesihatan mental sentiasa diberikan keutamaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




