HOUSTON: Cristiano Ronaldo menegaskan kritikan tidak pernah mematahkan semangatnya selepas meledak dua gol ketika membantu Portugal membelasah Uzbekistan 5-0 dalam aksi Kumpulan K.
Jaringan berkenaan menyaksikan Kapten ortugal itu mencipta sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia.
Ronaldo yang berusia 41 tahun sebelum ini dikritik hebat selepas prestasi hambar ketika seri 1-1 menentang Republik Demokratik Congo, namun membalas dengan persembahan penuh keyakinan di Houston.
Dia membuka jaringan seawal minit keenam sebelum menggandakan gol pada minit ke-39, sekali gus menjadi pencetus utama kebangkitan Portugal kendalian Roberto Martinez.
Portugal turut menambah tiga lagi jaringan menerusi Nuno Mendes, Rafael Leao dan satu gol lain dalam babak kedua untuk melengkapkan kemenangan bergaya.
Namun tumpuan terbesar tetap terarah kepada Ronaldo yang menegaskan bahawa kritikan terhadap dirinya adalah sesuatu yang sudah sebati sepanjang kariernya di pentas tertinggi dunia.
“Saya boleh katakan ia minggu yang sangat sukar, minggu yang mencabar, satu minggu di mana pendapat umum sangat keras terhadap kami, terhadap semua pemain, terutama jurulatih.
“Tetapi ia memang selalu begitu. Ia tidak mengapa kerana apabila difikirkan, saya sudah 23 tahun bergelar pemain profesional dan setiap kali keadaan tidak menjadi, orang akan kata ‘Cristiano sudah tamat, dia sudah tua’,” katanya.
Kenyataan itu jelas menggambarkan keteguhan mental Ronaldo yang terus membuktikan kemampuan meskipun berdepan tekanan serta kritikan berterusan.
Kemenangan itu menyaksikan Portugal berada di landasan tepat untuk mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik.- AGENSI




