Kuala Lumpur: Langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan yang diperkenalkan ketika ini bukanlah bertujuan untuk menghentikan semua perbelanjaan atau perjalanan rasmi ke luar negara, sebaliknya ia merupakan satu strategi pengurusan fiskal bersasar bagi mendepani impak krisis geopolitik global.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, keputusan proaktif itu diambil khusus bagi menampung peningkatan mendadak perbelanjaan subsidi negara, berikutan ketegangan di Asia Barat yang telah melonjakkan harga minyak mentah dunia secara ketara sejak kebelakangan ini.
“Bagi melindungi rakyat daripada kesan rantaian kenaikan harga bahan api dan tekanan kos sara hidup, kerajaan memilih untuk terus menyerap beban subsidi yang jauh lebih tinggi berbanding unjuran asal belanjawan negara.
“Ekoran itu, MOF telah mengeluarkan garis panduan penjimatan perbelanjaan yang ketat, termasuk mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara hanya kepada komitmen yang telah dijadualkan, mesyuarat diwajibkan, serta urusan berimpak strategik tinggi,” kata MOF.
Kenyataan ini dikeluarkan bagi mengulas mengenai laporan portal CodeBlue bertajuk “Ministers, Officials Go Around the World on 50 Trips in 50 Days” yang mempersoalkan lawatan rasmi ke luar negara ketika langkah penjimatan perbelanjaan sedang dilaksanakan.
Menurut MOF, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pendekatan berhemah ini dilaksanakan sepenuhnya tanpa menjejaskan kualiti serta kelangsungan perkhidmatan kritikal negara, terutamanya dalam sektor kesihatan dan pendidikan.
Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut tertakluk kepada arahan penjimatan itu, tidak berdepan sebarang sekatan bagi perancangan pengisian jawatan, pembelian ubat-ubatan, mahupun perolehan peralatan perubatan yang diperlukan oleh rakyat.
“Langkah jaminan itu diperkukuhkan lagi menerusi kerjasama strategik antara KKM dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang telah melaksanakan audit pantas bagi memastikan rantaian bekalan ubat-ubatan serta peralatan kritikal di seluruh negara sentiasa mencukupi,” katanya.
Bagi tahun 2026, kerajaan membuktikan komitmennya dengan menyasarkan pelantikan lebih daripada 18,000 petugas kesihatan baharu, merangkumi 4,500 Pegawai Perubatan, lebih 3,500 jururawat, dan hampir 1,000 penolong pegawai perubatan tanpa sebarang pengurangan jawatan.
Sektor farmaseutikal turut mendapat suntikan bajet yang lebih besar apabila peruntukan ubat-ubatan dipertingkatkan kepada RM6.5 bilion bagi tahun 2026, berbanding RM6 bilion pada tahun 2025, sekaligus menolak dakwaan berlaku pemotongan dalam sektor kebajikan.
Selain perolehan logistik, aspek pembangunan modal insan kesihatan terus diberi perhatian melalui penyediaan 400 slot Program Latihan Kepakaran Lanjutan yang membabitkan peruntukan RM24 juta bagi tahun 2026, meningkat daripada RM21.8 juta pada tahun sebelumnya.
Mengulas mengenai isu lawatan ke luar negara, sebahagian misi perdagangan dan diplomatik seperti lawatan kerja Perdana Menteri ke Turkmenistan dan Rusia terbukti berjaya membuahkan hasil dalam memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga serta mempelbagaikan sumber jangka panjang Malaysia.
“Pengurusan kewangan berhemah di bawah Kerajaan MADANI ini memastikan setiap ringgit dana awam dioptimumkan bagi menghadapi ketidaktentuan global, sekali gus memastikan kebajikan rakyat jelata dan kestabilan ekonomi makro negara kekal utuh,” kata MOF.
© New Straits Times Press (M) Bhd




