214 pelajar cemerlang STPM terima sumbangan khas Perdana Menteri

214 pelajar cemerlang STPM terima sumbangan khas Perdana Menteri

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: “Saya bersyukur bila menerima sumbangan khas, ini hasil berkat usaha dilakukan sehingga meraih keputusan cemerlang,” kata Muhammad Ammar Ashar, 20, yang meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Menteri di sini, antara 214 penerima sumbangan khas pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)yang diumumkan baru-baru ini.

Sumbangan berupa wang tunai RM200 itu daripada Pejabat Perdana Menteri yang disampaikan Setiausaha Politiknya Datuk Azman Abidin di Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat, hari ini.

Menurutnya, kejayaan meraihkan keputusan cemerlang ketika STPM adalah hadiah buat ahli keluarganya.

“Inilah hasil yang saya idamkan selepas penat lelah mengulangkaji pelajaran. Saya kini menunggu keputusan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi,” katanya yang Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) jurusan geografi.

Seorang lagi penerima Nur Haziqah Halim, 20, berkata sumbangan ini menjadi kepada cita-citanya menyambung pengajian di menara gading dalam jurusan pendidikan.

Anak sulung daripada empat beradik itu meraih PNGK 4.0 berkata, ia menjadi pembakar semangat memandangkan dia anak harapan keluarga.

Sementara itu, Azman berkata, seramai 214 pelajar cemerlang STPM 2025 di Batu Pahat menerima sumbangan sebagai tanda penghargaan atas kejayaan diraih oleh mereka.

“Ia sebagai penyuntik semangat supaya mereka berusaha lebih gigih untuk mencapai cita-cita masing-masing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top