PRN Johor: Lima calon MIPP bertanding di bawah tiket PN

PRN Johor: Lima calon MIPP bertanding di bawah tiket PN

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) bakal bertanding di lima kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Presidennya, P Punithan berkata, ia juga detik bersejarah buat parti itu yang pertama kali memasuki gelanggang pilihan raya.

“Buat pertama kali dalam sejarah, MIPP akan bertanding dan kami akan bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN).

“Ini merupakan langkah penting bagi MIPP. Ia mencerminkan pertumbuhan parti dan menunjukkan bahawa pemimpin PN yakin dengan keupayaan parti untuk bekerjasama dalam membawa Johor ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Pengumuman Calon MIPP di sini, malam tadi.

Menurutnya, lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi adalah Bukit Permai yang akan diwakili M Lina Manoh, Paloh (DS Jeevakumar), Kota Iskandar (S Anna Pravina), Pemanis (Dr A Arvind) dan Permas (T Vela).

“Calon-calon dipilih berdasarkan integriti, pendidikan, keupayaan dan semangat mereka untuk berkhidmat kepada rakyat. Mereka mewakili wajah baharu Johor dan politik Malaysia,” katanya yang memaklumkan semua calon berusia antara 27 hingga 41 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top