PRN Johor: PAS kemuka 11 calon wakili PN

PRN Johor: PAS kemuka 11 calon wakili PN

am@hmetro.com.my

Muar: PAS menampilkan sembilan muka baharu daripada 11 calon yang diumum bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.

Mereka termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dari UMNO, Mazlan Bujang yang sebelum ini mewakili UMNO, selain Saifullah Abdul Wahab yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah; Arshed Yahya (Simpang Jeram); Mohamad Anuar Hayan (Maharani) dan

Muhammad Amin Saillan @ Sazali (Sungai Balang).

Turut dicalonkan Ahmad Rosdi Bahari (Sri Medan); Mazlan (Kahang); Hasnul Hakimi Hussien (Endau); Yuhanita Yunan (Pasir Raja) dan Khirul-Muntanazar Ismail (Tiram).

Dua bekas calon, Normala Sudirman dan Halim @ Othman Kepol pula masing-masing diletakkan di DUN Tenang dan Semerah.

Kesemua sembilan calon lelaki dan dua wanita itu berusia antara 30 hingga 61 tahun.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kebanyakan calon berkenaan mempunyai latar belakang berbeza dan memiliki pelbagai pengalaman.

“Ada calon pernah bertanding sebelum ini namun bertanding di kerusi berbeza pada PRN kali ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Calon PAS Yang Mewakili PN bagi PRN Johor di sini malam tadi.

Hadir sama, Ketua Penerangan PN merangkap Pengarah PRN Johor Ke-16, Tan Sri Annuar Musa dan Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Sementara itu, Dr Samsuri berkata, PAS sudah membuat pertimbangan sebelum meletakkan calon di kesemua 11 kerusi terbabit.

“Keputusan bertanding dibuat berdasarkan kesesuaian dan potensi kawasan ditandingi berbeza dengan senario empat atau lima tahun lalu.

“PAS akan menggunakan logo PN untuk berkempen dan begitu juga dengan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top