news@nst.com.my
Kota Kinabalu: Allahyarham Zara Qairina Mahathir berkemungkinan mengalami gangguan pertimbangan sehingga menjejaskan keupayaannya untuk berfikir secara waras susulan insiden tragis pada 15 Julai 2025.
Perkara itu didedahkan Pakar Perunding Psikiatri, Dr Wong Haw Huo di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.
Dr Wong berkata, berdasarkan dokumen dan laporan yang ada, remaja terbabit dikesan mengalami ketidakstabilan emosi akut (acute emotional dysregulation) yang berkait rapat dengan rentetan peristiwa pada tarikh berkenaan.
“Dalam keadaan sedemikian, pertimbangan, keupayaan untuk berfikir secara rasional dan kawalan tingkah laku mangsa berkemungkinan besar terjejas,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Saksi ke-75 itu yang kini berkhidmat di Pusat Perubatan Rafflesia berkata, insiden pada 15 Julai itu adalah sangat signifikan daripada sudut klinikal psikiatri.
Menurutnya, keterangan saksi-saksi sebelum ini mendedahkan berlaku konfrontasi secara berkumpulan yang membabitkan tindakan tuduh-menuduh, pemeriksaan barangan peribadi, kecaman, ejekan di khalayak ramai, selain mangsa dilihat menangis, menafikan dakwaan dan kemudiannya menyendiri.
“Zara dilaporkan dituduh dan berdepan konfrontasi oleh beberapa pelajar serta senior. Dia menafikan salah laku itu dan kelihatan sangat tertekan. Laporan juga menyatakan mangsa kelihatan terlalu sarat dengan emosi selepas kejadian itu sebelum mengasingkan diri,” katanya.
Dr Wong berkata, ketiadaan sokongan atau kata-kata semangat daripada rakan sebaya sejurus selepas konfrontasi itu juga memberi kesan besar dari segi klinikal.
Malah katanya, mangsa dilaporkan terus bersendirian dalam tempoh yang lama dalam keadaan murung, selain menunjukkan tingkah laku luar biasa pada awal pagi 16 Julai 2025.
“Daripada perspektif psikiatri, tekanan, tindakan menyendiri dan tingkah laku pelik selepas konfrontasi itu mencerminkan tekanan emosi akut, rasa malu, trauma psikologi serta kegagalan mengawal emosi dengan baik,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Wong menjelaskan rumusan psikiatri mendapati Zara mengalami tekanan emosi yang terkumpul akibat interaksi antara faktor rapuh perkembangannya, sensitiviti berkaitan hubungan (attachment-related sensitivities), sifat impulsif, serta tekanan interpersonal yang semakin meruncing di persekitaran sekolah asrama berkenaan.
“Faktor-faktor ini bertindak balas dengan salah faham interpersonal yang berulang, khabar angin, dipinggirkan oleh rakan, konflik, tuduhan serta pengalaman yang dianggap mengaibkan susulan peristiwa pada 15 Julai 2025,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata Zara sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri termasuk mudah bergaul, ada keupayaan berfikir, cuba memperbaiki hubungan, mempunyai matlamat masa depan, berpaling kepada agama serta hubungan psikologi yang sangat kuat dengan ibunya.
“Berdasarkan imbangan kebarangkalian, peristiwa 15 Julai 2025 itu menjadi pencetus tekanan akut dalam situasi psikologinya yang sememangnya sudah sedia tertekan. Isu klinikal yang munasabah ialah, pada masa kejadian, mangsa mengalami gangguan emosi akut sehingga mengurangkan keupayaan berfikir dan gagal menggunakan strategi daya tindak yang berkesan,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Wong menegaskan pandangannya itu tidak dapat menentukan niat sebenar Zara pada waktu kejadian.
Katanya, memandangkan penilaian itu dibuat secara retrospektif (mengimbas kembali) tanpa pemeriksaan psikiatri secara langsung ketika mangsa masih hidup, kesimpulan mutlak mengenai status mental atau niat khususnya tidak dapat dibuat.
Laporan yang disediakan bersama Pakar Perunding Psikiatri, Dr Aili Hanim Hashim itu juga sekadar satu rumusan psikiatri dan bukan penentu kepada punca undang-undang, dapatan fakta atau liabiliti.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Zara ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah blok asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai 2025, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, keesokan harinya.
Kematian tragis remaja itu yang didakwa berpunca daripada gejala buli mencetuskan kegemparan di seluruh negara, sekali gus mendesak pelaksanaan langkah anti-buli yang lebih tegas serta akauntabiliti yang lebih tinggi di sekolah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




