MR DIY umum 31 pemenang hadiah utama Pertandingan Seni 2026

MR DIY umum 31 pemenang hadiah utama Pertandingan Seni 2026

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: MR DIY hari ini mengumumkan 31 pemenang hadiah utama Pertandingan Seni 2026 dengan tema “Strength and Resilience” (Kekuatan dan Ketahanan).

Hadiah utama kategori artis profesional dimenangi Chang Yoong Chia menerusi hasil seninya, ‘Weight of a Feather’, membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000.

Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY, Adrian Ong berkata, sebanyak 900 penyertaan diterima daripada peserta berusia antara 8 hingga 61 tahun merangkumi kategori artis, umum dan pelajar.

Menurutnya, pertandingan itu adalah sebahagian daripada komitmen MR DIY dalam menyediakan platform kepada artis daripada pelbagai peringkat usia bagi meluahkan kreativiti mereka serta menyokong seni dan budaya tempatan.

“Apa yang menyerlah pada tahun ini adalah cara artis menggambarkan erti kekuatan dengan begitu peka dan mendalam.

“Hasil karya yang meraih kemenangan ini mengingatkan kita bahawa ketahanan tidak semestinya sesuatu yang kuat dan dramatik. Ada kalanya ia ditemui dalam keseimbangan, keluarga, identiti dan tekad untuk terus melangkah ke hadapan.

“Melalui pertandingan ini, kami berbesar hati untuk terus menyokong artis Malaysia dan menyediakan platform untuk berkongsi cerita mengenai diri kita sebagai sebuah komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Seni MR DIY 2026 di Muzium Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tema tahun ini mengajak peserta merenung makna kekuatan, kepelbagaian dan ketahanan dalam masyarakat Malaysia, sekali gus mencerminkan cara rakyat negara ini berdepan cabaran peribadi serta sosial dalam suasana yang realistik dan saling bersatu.

Katanya, empat pemenang utama bagi setiap kategori akan mewakili Malaysia ke Pertandingan Seni MR DIY peringkat serantau di Indonesia yang dijadual berlangsung pada penghujung tahun ini.

Beliau berkata, karya seni pemenang turut dipamerkan kepada orang ramai di Galeri 2, Jabatan Muzium Malaysia bermula hari ini hingga 3 Julai depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top