KUALA TERENGGANU – Istilah ‘UMDAP’ yang sering dimainkan bagi menggambarkan hubungan antara UMNO dan DAP disifatkan sebagai satu bentuk retorik politik dan bukannya realiti politik sebenar.
Pemerhati Politik dan Pembangunan Masyarakat, Prof. Madya Dr. Sahar Sa‘di Hashim berkata, label tersebut sengaja diwujudkan oleh pihak tertentu bertujuan membentuk persepsi negatif dalam kalangan pengundi Melayu kononnya UMNO kini tunduk kepada DAP dan menggadaikan prinsip perjuangan asalnya.
Bagaimanapun katanya, dari sudut fakta struktur politik, sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi atau dokumen persefahaman khusus yang menggabungkan UMNO dan DAP sebagai satu entiti politik baharu selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Ironinya, sejarah politik tanah air sendiri menunjukkan bahawa PAS dan DAP sebenarnya pernah bekerjasama secara rasmi dalam dua gabungan politik utama iaitu Barisan Alternatif (1999–2001) dan Pakatan Rakyat (2008–2015).
“Secara keseluruhannya, PAS dan DAP pernah berada dalam gabungan politik yang sama selama hampir sembilan tahun. Oleh itu, penggunaan istilah ‘UMDAP’ hari ini lebih bersifat naratif politik berbanding fakta,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai realiti penubuhan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sahar Sa‘di menjelaskan kerjasama rentas parti itu dibentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong demi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara selepas tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah.
Menurutnya, penglibatan UMNO melalui Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran hari ini tidak bermakna parti itu menjadi komponen Pakatan Harapan (PH) atau berkongsi ideologi yang sama dengan DAP.
“Kerjasama politik tidak bererti penggabungan ideologi. UMNO kekal dengan perlembagaan, struktur organisasi, kepimpinan dan dasar perjuangan sendiri. Kerjasama pentadbiran ini adalah satu keperluan dalam sistem demokrasi berparlimen.
“Malah, kepimpinan kerajaan hari ini dianggotai secara kolektif oleh pelbagai parti termasuk PKR, Amanah, DAP, UMNO serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
“Segala keputusan dibuat melalui mekanisme Kabinet, bukannya ditentukan oleh satu-satu parti sahaja,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau yang juga pakar antropologi sosial turut menangkis dakwaan bahawa kedudukan Islam dan hak orang Melayu terjejas di bawah model pentadbiran semasa.
Katanya, sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan berjalan, tiada sebarang pindaan dibuat yang mengubah perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Asas Perlembagaan negara seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kekal terpelihara.
“UMNO juga dilihat terus memainkan peranan sebagai komponen penting dalam kerajaan bagi memastikan keseimbangan dasar serta kepentingan rakyat pelbagai kaum sentiasa dilindungi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyimpulkan bahawa naratif ‘UMDAP’ sekadar senjata politik untuk meraih sokongan, manakala fokus utama bagi sesebuah kerajaan dalam sistem demokrasi yang matang adalah keupayaan menjamin pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.



