Kanak-kanak 11 tahun maut motosikal diseret 50 meter

Kanak-kanak 11 tahun maut motosikal diseret 50 meter

am@hmetro.com.my

Besut : Seorang kanak-kanak 11 tahun maut selepas motosikal ditunggang dilanggar dan diseret kereta di Jalan Kota Bharu – Kuala Terengganu di Kampung Bukit Kenak di sini, malam tadi

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Wan Julaini Wan Noh dari Kampung Pulau Panjang maut di tempat kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik dan ditunda motosikal lain kerana mengalami kerosakan.

“Sebuah kereta Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 21 tahun dari arah sama melanggar bahagian belakang motosikal itu.

“Akibat pelanggaran itu mangsa terseret sejauh kira-kira 50 meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rozaime berkata, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan ujian saringan air kencing ke atas wanita itu negatif pengaruh dadah.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top