KOREA Selatan terus berdepan laluan sukar untuk mara ke pusingan 32 Piala Dunia 2026 selepas kedudukan mereka dalam carta pasukan tempat ketiga terbaik merosot ke tangga ketujuh susulan keputusan terkini peringkat kumpulan.
Situasi itu berlaku selepas Senegal membelasah Iraq 5-0 dalam aksi terakhir Kumpulan I di Toronto, sekali gus melonjakkan kedudukan mereka dalam senarai 12 pasukan tempat ketiga.
Hanya lapan pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke peringkat kalah mati.
Kekalahan besar Iraq turut membantu Senegal menamatkan saingan dengan tiga mata, sekali gus memperbaiki perbezaan jaringan dan memintas beberapa pasukan lain termasuk Korea Selatan yang kini berada di zon bahaya kelayakan.
Senegal membuka jaringan menerusi situasi bola mati apabila tandukan Abdoulaye Seck terkena badan Mouhamadou Habib Diarra sebelum menerjah gawang, sebelum Iraq semakin tertekan selepas kehilangan seorang pemain akibat kad merah pada minit ke-13.
Bermula babak kedua, Senegal terus menguasai permainan apabila Ismaila Sarr, Pap Gueye dan Iliman Ndiaye masing-masing menyumbang jaringan dalam kemenangan bergaya 5-0.
Sarr turut mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak Senegal di pentas Piala Dunia dengan empat gol.
Iraq pula menamatkan kempen tanpa sebarang mata selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut.
Korea Selatan kini masih mempunyai peluang tipis untuk mara, namun nasib mereka bergantung kepada keputusan perlawanan kumpulan lain yang akan menentukan sama ada mereka kekal dalam kelompok lapan pasukan tempat ketiga terbaik.



