BN mahu lebih banyak kerusi di Johor – Ahmad Zahid

BN mahu lebih banyak kerusi di Johor – Ahmad Zahid

PONTIAN- Barisan Nasional (BN) menyasarkan pertambahan kerusi di Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berbanding sebelumnya, dengan bersandarkan kepada kekuatan jentera serta prestasi semasa kerajaan negeri.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN meletakkan calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“BN mempunyai beberapa struktur dan gerak kerja di setiap DUN dan tentunya kita mahu memperoleh yang lebih banyak.

“Tetapi ia bergantung kepada bagaimana jentera sama ada media sosial dan di lapangan menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Gelombang Biru bagi DUN Benut di Parit Ismail Benut di sini pada Sabtu.

Pada PRN 2022, BN berjaya meraih kemenangan selesa dengan memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN Johor.

Timbalan Perdana Menteri itu turut menyifatkan pentadbiran negeri ketika ini menunjukkan pencapaian positif, termasuk dari segi pembangunan, peningkatan hasil negeri serta agihan peruntukan yang disifatkan lebih menyeluruh kepada semua daerah.

Jelas beliau, kepimpinan Onn Hafiz akan menjadi faktor utama kepada sokongan pengundi terutama golongan muda.

“Saya dimaklumkan dalam manifesto yang dibentangkan, tiada satu daerah pun di Johor yang akan tertinggal.

“Ini memberi kelebihan kepada Bangsa Johor. Jika pengundi terpengaruh dengan isu-isu yang dimainkan, ia akan merugikan rakyat Johor sekiranya peluang tidak diberikan sekali lagi kepada Onn Hafiz untuk meneruskan perkhidmatan terbaik,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut menyeru jentera BN untuk tidak menyerang pihak lawan seperti Pakatan Harapan (PH) walaupun mereka berbeza pandangan.

“Kita berkawan dan kita berlawan dalam gelanggang yang sama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat. Namun, kesefahaman telah ditetapkan supaya tidak menyerang pihak lawan, walaupun kita berbeza pandangan di Johor.

“Pendekatan ini penting kerana kita perlu melihat gambaran lebih besar di peringkat nasional. Perkara ini difahami oleh kepimpinan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya berharap di Johor, kempen dijalankan secara berhemah, tidak menyerang mana-mana parti, dan mempromosikan calon dengan penuh kesantunan dan hikmah,” katanya lagi.

-e d

Scroll to Top